Bersih usul langkah tangani isu lompat parti, CDF

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mencadangkan tiga pilihan untuk menangani isu lompat parti susulan empat ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, punca bagi masalah tersebut disebabkan kelompangan undang-undang anti lompat sedia ada dan penggunaan peruntukan sebagai senjata untuk melakukan tawar menawar.

“Cadangan pertama ialah melakukan usaha dwipartisan bagi memperketatkan undang-undang anti lompat dengan menutup lompang yang ada, namun hal ini akan menghakis autonomi ahli Parlimen.

“Kedua, mempertimbangkan pelaksanaan pilihan raya pecat untuk dikenakan kepada mereka yang menukar kesetiaan tanpa meninggalkan parti.

“Cadangan ketiga, mempertimbangkan pelaksanaan sistem perwakilan berkadaran (PR) secara penuh atau separa sebagai sistem sistem pilihan raya baharu atau sistem campuran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Danish Hairudin berkata, kelompongan Akta Anti Lompat Parti berlaku disebabkan sikap tidak tetap pendirian pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang akhirnya memakan diri.

Dalam pada itu, Bersih turut mengusulkan dua langkah yang wajar diambil bagi menangani isu peruntukan pembangunan kawasan (CDF).

Menurutnya, kerajaan perlu melaksanakan penginstitusian peruntukan berkenaan secara undang-undang supaya pemberian peruntukan yang adil dapat dilakukan dan bukan lagi atas budi bicara ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

“Bersih menyokong seruan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang menggesa kerajaan untuk mengkanunkan peruntukan itu bagi menstabilkan politik Malaysia selain meratakan padang permainan politik.

“Seterusnya, dalam jangka masa yang lebih panjang, CDF perlu berjalan sendiri atau diuruskan melalui kerajaan tempatan yang dipilih melalui pilihan raya,” ujarnya.

Katanya, pembangunan kawasan tidak sewajarnya menjadi tugas ahli Parlimen sebaliknya memberi fokus kepada isu nasional dan membahaskan rang undang-undang serta polisi-polisi utama kerajaan yang memerintah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!