Kerajaan disaran wujudkan hanya satu gred tunggal beras putih

Kerajaan dicadangkan mewujudkan hanya satu gred tunggal untuk beras putih dan tidak perlu lagi melabelkannya dengan Beras Putih Tempatan dan Besar Putih Import seperti kelaziman. (Gambar kecil: Marzukhi)
Kerajaan dicadangkan mewujudkan hanya satu gred tunggal untuk beras putih dan tidak perlu lagi melabelkannya dengan Beras Putih Tempatan dan Besar Putih Import seperti kelaziman. (Gambar kecil: Marzukhi)
A
A
A

KUALA PERLIS - Gabungan Pengilang Beras Malaysia mencadangkan pihak Seksyen Badan Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mewujudkan hanya satu gred tunggal untuk beras putih dan tidak perlu lagi melabelkannya dengan Beras Putih Tempatan dan Besar Putih Import seperti kelaziman.

Pengerusi gabungan itu, Marzukhi Othman berkata, langkah itu penting untuk memastikan tiada sebarang manipulasi di peringkat pemborongan sekali gus dapat mengelakkan pengguna tertipu dengan beras yang dibeli.

Beliau mendakwa terdapat pemborong mencampurkan beras tempatan dengan beras import dan kemudian menjual beras itu sebagai beras import sepenuhnya pada harga yang tidak terkawal.

"...semua pihak tahu beras tempatan jauh lebih baik kualiti, tetapi beras import juga dapat nama...selagi mana ada dua gred beras putih pada harga berbeza, ia tidak akan menyelesaikan masalah penyelewengan sekiranya berlaku lonjakan harga import di masa hadapan,” katanya pada sidang akhbar pada Rabu.

Marzukhi berkata, industri padi beras negara mampu menjadi lebih stabil dan harmoni sekiranya ada gred tunggal beras putih dengan pemain industri termasuk pesawah, pengilang, pemborong dan peruncit dapat menguruskan tanggungjawab masing-masing secara lebih terkawal dan terancang.

"Daripada segi penetapan harga untuk gred tunggal ini, terpulang kepada pihak kerajaan untuk membuat ketetapan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pengilang-pengilang beras Malaysia menyambut baik hasrat kerajaan yang mengkaji cadangan menaikkan harga siling beras putih tempatan (BPT) seperti mana dinyatakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, pada 12 Nov lepas.

"Saya harap ia dapat segera dilakukan (semak semula harga siling BPT), jika harga siling beras putih ini naik, harga padi pun akan naik dan secara langsung akan membantu meningkatkan pendapatan pesawah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan Seskyen Kawalselia Padi dan Beras mendapati harga siling beras putih itu wajar dinaikkan daripada RM2.60 sekilogram kepada RM3.20 sekilogram untuk menjaga masa depan semua pihak terlibat dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu terutama pesawah.

Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood dilapor berkata penetapan harga siling beras putih berkenaan pada kadar RM2.60 itu tidak disemak sejak 15 tahun lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!