iKAF hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza
SHAH ALAM - Terkesan dengan situasi konflik di Palestin, Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa (iKAF) melalui Misi Kemanusiaan Insani 4 Palestine (i4P) akan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza menerusi Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) dalam masa terdekat.
Kumpulan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Pengerusinya, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya itu tiba di Kaherah pada Isnin lalu bagi menyampaikan bantuan melibatkan ubat-ubatan, peralatan perubatan dan keperluan musim sejuk.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, Fathul Bari berkata, kumpulan tujuh sukarelawan itu juga telah bertemu Ketua Pegawai Eksekutif ERC Mesir, Dr Ramy El Nazer bagi membincangkan bantuan diperlukan rakyat Palestin di Gaza ketika ini.
"Proses pembelian barangan bantuan akan dilakukan di Kaherah sebelum dihantar ke Gaza melalui lintasan Rafah.
"Kita mensasarkan bantuan perubatan dan bantuan spesifik untuk kanak-kanak yang akan cuba diperoleh dengan kerjasama ERC.
"Dr Ramy akan membantu mendapatkan barangan tersebut dan Insya-ALLAH petang ini, kami akan dapatkan senarai penuh barangan yang amat diperlukan dan semua barang bantuan akan dikumpul dalam tempoh dua hari sebelum penghantaran ke sempadan Rafah," katanya.
ERC merupakan satu-satunya organisasi yang diberi mandat oleh kerajaan Mesir untuk memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada warga Palestin di Gaza melalui sempadan Rafah.
Sebelum itu pada Selasa, pasukan i4P turut mengadakan kunjungan hormat kepada Duta Besar Malaysia ke Mesir, Zamani Ismail di Kaherah untuk memaklumkan perancangan dan perjalanan misi kemanusiaan berkenaan.
Misi i4P dijadualkan menghantar bantuan hingga ke sempadan Rafah atau Ismailiya pada Jumaat ini dengan kerjasama ERC Mesir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!