KJ tak setuju komen Hannah Yeoh tentang RUU GEG

Komen Hannah terhadap hantaran KJ (kiri).
Komen Hannah terhadap hantaran KJ (kiri).
A
A
A

SEREMBAN - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak setuju bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG) adalah tidak tidak berperlembagaan (unconstitutional) dan tidak boleh dikuatkuasakan (unenforceable).

Malah katanya, semasa RUU itu dibentangkan di Parlimen kali pertama sebelum ini, pihaknya telah diminta membuat beberapa pindaan sebelum satu jawatankuasa pilihan khas ditubuhkan.

"Seterusnya jawatankuasa itu telah menemui beberapa pihak termasuk jawatankuasa pilihan khas berkaitan hak kanak-kanak yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Sepanjang itu tidak pernah Jabatan Peguam Negara (AGC) kata RUU ini tidak berperlembagaan. Tiba-tiba jadi tidak berperlembagaan, saya tidak faham kenapa AGC boleh mengambil pendirian yang berbeza daripada selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas komen Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada hantarannya di media sosial bahawa undang-undang yang tidak boleh dikuatkuasakan dan tidak berperlembagaan akan membawa kerugian berjuta-juta ringgit kepada kerajaan.

"Tidak menyokong GEG tidak bermakna saya menyokong merokok dan vaping," tulis Hannah.

Khairy Jamaluddin berkata, alasan yang diberi oleh Hannah itu tidak boleh diterimanya kerana RUU itu telah beberapa kali dibawa ke kabinet dan Parlimen semasa beliau menjadi Menteri Kesihatan.

Ujarnya, jawatan itu kemudiannya disambung oleh Dr Zaliha Mustafa dan isu itu tidak berperlembagaan tidak pernah berbangkit.

Artikel Berkaitan:

"Saya kata keputusan ini bukan berasas kepada undang-undang tetapi politik.

"Saya hanya boleh buat andaian bahawa ada tekanan daripada menteri undang-undang untuk minta AGC supaya isytihar benda ini tidak berperlembagaan. Maka selesailah dan Kementerian Kesihatan tidak boleh kata apa," katanya.

Sebelum itu, Khairy Jamaluddin hadir pada Majlis Pengenalan Majlis Pengenalan Pasukan Jelajah Negeri Sembilan 2023 di sini pada Rabu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!