Penemuan rangka manusia, tiada unsur jenayah - Polis

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan penemuan rangka manusia di kawasan belukar di bawah jambatan Jalan Persiaran Putra, Putra Heights, dekat Subang pada Jumaat lepas tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan polis bersama pakar patologi Hospital Serdang pada Rabu mendapati rangka berkenaan tiada kecederaan lain.

Beliau berkata, hasil laporan patologi mendapati terdapat empat kesan patah pada rangka manusia berkenaan iaitu pada tulang tangan kanan (Humerus), lengan tangan kanan (Ulna), tulang rusuk bahagian kanan dan tulang pinggul (Girdel Pelvis) bahagian kanan.

"Kesan patah pada tulang-tulang berkenaan adalah selari dengan tempat kejadian berdasarkan pada anggaran ketinggian dan juga tempat mangsa itu jatuh,” katanya dalam kenyataan malam Rabu.

Berikutan itu, ahli keluarga mangsa telah tampil berjumpa pegawai penyiasat setelah mendapat tahu berita penemuan rangka manusia itu disiarkan media.

Jumaat lepas, polis menerima laporan penemuan rangka dipercayai lelaki warga Indonesia iaitu pekerja yang menjalankan kerja-kerja penyelengaraan sistem LRT di substesen Putra Height pada jam 12.15 tengah hari.

Rangka manusia itu dikenali sebagai Riki Mandaguna, berusia 40 tahun dan beralamat di Kota Samarinda, Kisaran, Indonesia dan mangsa berkemungkinan meninggal dunia di antara tiga hingga enam minggu lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!