Keberanian Nurul Ain patut jadi inspirasi

Nurul Ain yang dibawa keluar dari Gaza, melalui sempadan Rafah di Mesir selamat tiba di tanah air pada malam Selasa bersama suaminya warga Palestin, Mohamed A M Shaat. - Foto Bernama
Nurul Ain yang dibawa keluar dari Gaza, melalui sempadan Rafah di Mesir selamat tiba di tanah air pada malam Selasa bersama suaminya warga Palestin, Mohamed A M Shaat. - Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS sebulan yang mendebarkan terperangkap di bumi Gaza, Nurul Ain Haron, 37, dan suaminya, Mohamed Adan Shaat, 33, akhirnya selamat dibawa pulang ke tanah air pada malam kelmarin.

Kisah wanita ini mula tular di media sosial apabila tujuan asal untuk menziarah keluarga mertua di Khan Younis, Gaza bertukar menjadi mimpi ngeri berikutan perang meletus tanggal 7 Oktober lalu.

Anak kelahiran Keramat, Kuala Lumpur itu kemudian aktif berkongsi aktiviti membantu rakyat Palestin menerusi video-video di akaun aplikasi TikTok miliknya sehingga ramai rakyat Malaysia ternanti-nanti perkembangan di sana.

Sudah pasti, ketabahan ‘wanita besi’ ini sangat menyentuh perasaan kerana dalam tempoh 37 hari terkandas di Gaza, dia berdepan suasana sukar yang sememangnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Tiada bekalan elektrik, terpaksa minum air masin kerana tiada air bersih, khidmat internet dipotong dan kekurangan bekalan ubat-ubatan.

Semua ini terpaksa ditempuh, namun Nurul Ain masih mampu mengukir senyum dalam setiap videonya.

Lebih mengerikan, dia juga menjadi saksi mangsa yang cedera terpaksa dirawat dan dibedah tanpa sebarang bius di hospital selain saudara-mara terdekat suaminya sendiri menjadi mangsa pengeboman - bukan sekali tetapi lapan bedilan!

Ibu bapa Nurul Ain juga pernah berpesan agar tidak menitiskan air mata kerana katanya: “Kalau gugur, Insya-ALLAH Ain syahid.”

Artikel Berkaitan:

Dalam pada berdepan ketakutan dan sebarang kemungkinan, Nurul Ain dan suaminya masih berusaha sedaya upaya membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis dengan menyediakan bekalan ubat-ubatan dan selimut bersih.

Sebagai rakyat Malaysia yang sudah biasa berada dalam negara aman tanpa perang, seharusnya kita mengambil pengalaman Nurul Ain sebagai iktibar agar tidak cepat melatah dan bersabar berdepan apa sahaja ujian.

Tidak guna melaungkan #BebaskanPalestin dan sibuk sertai solidariti tetapi apabila diuji sedikit, kita pantas saja merungut tidak cukup itu ini dan kurang sabar pula apabila ditimpa musibah yang sedikit.

Terima kasih Nurul Ain kerana memberi inspirasi dalam perjuangan menegakkan agama.

Semoga lebih ramai yang mahu mengikut jejak langkahmu.

Tetapi sebelum jadi seperti Nurul Ain, muhasabahlah diri dahulu!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!