Bezakan antara mencari rezeki dan hobi
SENGAJA tempah maut atau buat-buat tidak tahu?
Perkara itu selalu bermain di fikiran penulis apabila masih ada segelintir masyarakat yang mahu memenuhi kehendak atau melayan nafsu ‘memburu’ hasil laut.
Bukankah sekarang ini cuaca tidak menentu dan bermulanya Monsun Timur Laut (MTL), tidak takutkah dibadai atau ‘ditelan’ kepala air di sungai semasa memancing?
Kita sebagai insan yang diberikan akal oleh Tuhan seharusnya dapat membezakan antara kemahuan diri atau tuntutan hakiki.
Jika sekadar mahu melunaskan tuntutan hawa nafsu, abaikan sahaja hobi memancing buat sementara waktu.
Namun, sekiranya tugas hakiki seseorang itu adalah seorang nelayan yang perlu turun ke laut bagi mendapatkan rezeki buat keluarga, ia satu situasi berbeza.
Pun begitu, nelayan pun tahu takut dan tidak berani mengambil risiko turun ke laut sekiranya laut bergelora akibat MTL.
Mereka lebih rela berada di darat dan sanggup membuat kerja lain demi sesuap nasi.
Untuk lebih selamat, lihat dahulu ramalan cuaca dan pemberitahuan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum ini pun meminta orang ramai mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti air semasa musim MTL yang bermula November ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin menyarankan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti riadah dan rekreasi di kawasan berisiko tinggi berlakunya kejadian kepala air ketika musim monsun.
Selain itu, orang ramai juga disaran agar tidak melakukan aktiviti perkhemahan dan pendakian atau bermandi-manda di kawasan air terjun dan sungai.
Pihaknya dengan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan juga akan memantau dan mengawal semua aktiviti rekreasi untuk mengelak sebarang kemungkinan malapetaka membabitkan nyawa.
Oleh demikian, kita seharusnya mengambil berat nasihat yang disampaikan Ketua Pengarah JBPM itu supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini dan menyebabkan penyesalan di kemudian hari.
Tapi kalau sudah ketagih sangat, pergilah ke kolam memancing kerana di situ lebih selamat.
Hargai jasa nelayan
Sementara itu, jangan pula ada yang melabelkan penulis sebagai anti aktiviti memancing.
Cuma, sekadar peringatan buat semua.
Tidak dinafikan memancing merupakan satu hobi yang sangat baik terutama dalam mendidik anak-anak tentang erti sabar, seterusnya dapat memenuhi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.
Sebab itu penulis sendiri memberi galakan kepada anak lelaki berusia 11 tahun untuk memancing udang bersama sepupunya di kolam mancing.
Tidaklah dia asyik bermain telefon bimbit dan menonton televisyen sahaja di rumah.
Meskipun kurang hasil pancingan, namun dia dengan bersemangat menceritakan kenangannya memancing udang buat kali kedua.
Tidak lama selepas habis bercerita mengenai pengalaman memancing udang, sepupunya pula ajak memasak udang yang ditangkap mereka.
Memang anak bujang penulis tidak pernah memasak di rumah, tetapi kali ini dia berpeluang menjadi cef di rumah opahnya.
Semua ini mengajar mereka erti sebuah kehidupan dan menghargai keringat mendapatkan rezeki.
Dari situ juga kita menyedari bahawa bukan mudah menjadi seorang nelayan yang sanggup bertarung nyawa di tengah lautan bagi mendapatkan hasil.
Justeru, kita sepatutnya bersyukur dengan pengorbanan nelayan.
Jika tidak kerana mereka, jangan haraplah hendak merasa sajian udang atau sotong celup tepung.
Kita yang tidak biasa dengan alunan ombak, baru naik bot sekejap pun sudah mabuk laut.
Bagi penulis, jasa nelayan dan petani sangat besar kepada negara dalam memastikan sumber makanan sentiasa mencukupi.
Jika sekadar mahu melunaskan tuntutan hawa nafsu, abaikan sahaja hobi memancing tersebut buat sementara waktu.
Namun, sekiranya tugas hakiki seseorang itu adalah seorang nelayan yang perlu turun ke laut bagi mendapatkan rezeki buat keluarga, ia satu situasi berbeza.”
* Hishamuddin Ayub ialah Wartawan Jenayah Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!