Dua maut kemalangan babit kereta, dua lori
ROMPIN - Dua maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan dua buah lori di Kilometer 37, Jalan Kuantan- Johor Bahru di sini pada Rabu.
Dalam nahas kira-kira jam 9.30 malam itu, pemandu kereta jenis Nissan Almera, Mohd Rahmat Ab Rahim, 34, dan penumpang, Muhammad Amirul Mukmini Mat Daud, 31, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, dua pemandu lori masing-masing berusia 37 dan 65 tahun mengalami luka-luka di bahagian kepala.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta dipandu mangsa yang bekerja sebagai pekerja katering dan penumpang yang bekerja sebagai pembantu perubatan itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Johor Bahru.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta memberhentikan kenderaan untuk masuk simpang ke sebuah kedai makan di sebelah kanan jalan.
"Pada masa sama, sebuah lori dari arah belakang dipercayai gagal mengelak lalu terlanggar kereta mangsa hingga terbabas masuk ke haluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori simen yang datang dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan," katanya.
Mohd Azahari berkata, akibat kejadian, pemandu dan penumpang kereta yang berasal dari Pekan dan Tanah Merah, Kelantan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Rompin ke lokasi untuk bantuan selepas menerima maklumat berhubung kejadian.
Beliau berkata, sejurus tiba mendapati dua mangsa telah meninggal dunia dan salah seorang tersepit dalam kenderaan.
"Anggota bomba terlibat membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!