Ditinggal tepi jalan bersama mayat anak
GUA MUSANG - Seorang lelaki orang asli dari Pos Blau di sini tampil membuat laporan polis selepas mendakwa Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan pemandu kontraktor cuai dalam urusan menghantarnya ke kampung.
Ahee Angah, 22, dari Kampung Kelaik, Pos Blau berkata, pada malam Ahad lalu, isterinya bersalin di Hospital Kuala Krai (HKK) namun malangnya bayi mereka meninggal dunia.
Menurutnya, keesokan hari, dia membawa pulang mayat bayinya yang dilahirkan tujuh bulan untuk dikebumikan di kampung mereka.
"Pemandu kontraktor yang diamanahkan Jakoa untuk menghantar saya ke kampung tidak memberikan kerjasama apabila dia memberitahu kerja penghantaran hanya dari Kuala Krai ke Gua Musang sahaja.
"Dia meminta saya RM50 untuk menghantar ke kampung namun saya tidak ada wang. Lalu dia meninggalkan saya di simpang Pos Blau sahaja.
"Untuk sampai ke kampung, saya perlu berjalan kaki sejauh 30 kilometer dengan mengendong mayat anak. Alasannya, dia hanya perlu hantar pesakit tapi bukan mayat," katanya.
Ahee berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang hari ini.
Katanya, buat masa ini, isterinya, Dura Uda, 25, masih belum sedarkan diri dan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKK.
"Saya kecewa dengan sikap pemandu kontraktor itu yang langsung tidak memikirkan situasi saya ketika itu.
"Hampir satu jam saya menunggu di pondok di simpang Pos Blau, saya bernasib baik kerana ada saudara saya dari kampung melalui kawasan itu dan menumpangnya balik," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, perkara ini hanyalah kerana salah faham.
Katanya, siasatan telah dibuat antara kedua-dua pihak (orang asli dan pemandu kontraktor) dan laporan berkenaan telah dihantar ke kementerian.
"Kita tidak menyebelahi mana-mana pihak namun keputusan ini kita serahkan kepada kementerian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!