Minum kopi bara arang boleh undang kesan buruk kesihatan - Pakar

Gambar hiasan 123RF.
Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

SEJAK beberapa minggu yang lalu, trend meminum kopi yang dimasukkan dengan bara arang di sebuah kedai makan di sini menjadi perdebatan orang ramai di media sosial.

Semuanya gara-gara dakwaan bahawa kopi yang dimasukkan dengan bara arang atau dipanggil "Kopi Joss” di Indonesia itu mempunyai keunikan rasa tersendiri selain dikatakan merupakan cara untuk menyingkirkan toksin daripada dalam badan.

Timbul persoalan dalam kalangan netizen apakah kopi bara arang ini memberi manfaat atau membawa mudarat kepada peminumnya dan ada antara mereka yang mendakwa bara arang dalam kopi itu boleh menurunkan kadar kafein di dalam kopi.

Bagaimanapun, Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman Hospital Sultanah Aminah, Dr Ng Kim Fong berkata, meminum kopi itu juga boleh mengakibatkan kanser kerana sifatnya yang karsinogenik serta kemungkinan usus tersumbat jika diambil secara kerap untuk tempoh masa yang lama.

"Bagi pesakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung yang meminum kopi itu, ia boleh menjejaskan tahap keberkesanan ubat mereka kerana arang bersifat neutral dan ia akan menyerap semua bahan di dalam perut termasuk ubat-ubatan yang perlu dimakan oleh pesakit, lantas menjadikan ubat mereka tidak efektif untuk rawatan,” kata beliau kepada Bernama.

Menurut Penasihat Persatuan Doktor - Doktor Johor itu lagi, memasukkan arang panas dalam minuman atau makanan apatah lagi yang belum diproses dan ditulenkan, tidak boleh disamakan seperti arang diaktifkan yang biasanya diberikan dalam bentuk tablet kepada pesakit mengalami keracunan makanan tetapi malangnya tanggapan ini memang berlaku dalam kalangan ramai.

"Arang diaktifkan sudah diproses dan ditulenkan dan selamat untuk digunakan dengan dos yang dibenarkan adalah kira-kira 100 gram manakala arang yang dimasukkan terus dalam kopi seperti itu (ditularkan) pula belum diproses dengan betul dan tidak selamat untuk dimakan atau diminum begitu sahaja kerana kemungkinan terdapat unsur benda asing atau toksik lain.

"Jadi, orang ramai janganlah mudah terpengaruh dengan trend semasa, yang popular di negara lain tanpa melihat secara menyeluruh kesan sampingannya kepada kesihatan masing-masing.

"Tidak bermakna semua benda baharu perlu kita cuba kerana yang penting adalah ia selamat dan bebas kuman,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr Nurhashim Haron berkata,peniaga yang menawarkan minuman seperti itu sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap tahap keselamatan makanan dan minuman yang disediakan, dengan melihat risiko bahaya bahan-bahan digunakan terhadap kesihatan pengguna.

"Sentimen umum bahawa bahan arang itu berhabuk adalah betul, jadi walaupun arang itu sendiri bukan bahan beracun tetapi ia dibakar menyebabkan terhasil habuk.

"Habuk itu yang kita bimbang tidak selamat untuk dihadam kerana ia terhasil daripada proses pembakaran.

"Ini menjadi lebih penting apabila kita tidak tahu apakah semasa proses pembakaran itu terdapat campuran benda asing seperti kotoran, asap atau bahan kimia lain seperti hidrokarbon terhasil, menjadikannya lebih tidak selamat untuk dihadam," katanya.

Dr Nurhashim berkata, arang itu sendiri dihasilkan bukan dengan tujuan dimakan menyebabkan tiada sebarang ujian klinikal dibuat bagi memastikan tahap kebersihan khususnya melibatkan bakteria.

"Pendapat yang mengatakan arang itu diletakkan sekejap iaitu sekitar satu atau dua minit juga tidak dapat menafikan kesan jangka masa panjang sekiranya diambil secara kerap.

Mitos yang mengatakan ia berfungsi sebagai bahan ‘detox’ pula adalah disebabkan dahulu arang pernah digunakan untuk menyerap racun atau toksin yang ditelan sebagai sebahagian dari lavaj gaster, tetapi ia bukan melibatkan toksin dalam tubuh badan manusia, khususnya perut,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan supaya pengguna tidak meminum kopi itu dan jangan mengambil risiko kerana tiada ujian klinikal diketahui dibuat mengenainya.

"Setiap individu seharusnya lebih bijak dan berfikir dengan kritis dalam memasukkan sesuatu benda ke dalam tubuh badan.

"Selain itu, peniaga juga perlu lebih bertanggungjawab, mungkin sebelum ini mereka tidak sedar risiko yang berbangkit," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!