Pihak pembelaan kemuka empat bukti baharu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak pembelaan semalam mengemukakan empat bukti baharu berhubung empat posting yang didakwa mempunyai tulisan milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan semasa hayatnya.

Semua artikel yang diambil dari blog mimpipari.blogspot.com itu dibacakan semula oleh peguambela mewakili tertuduh pertama, Samirah Muzaffar, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi semalam.

Dokumen yang dibacakan peguam itu ditandakan sebagai eksibit mahkamah.

Antara isi kandungan blog itu ialah perasaan Nazrin terhadap 'abang' yang didakwa pihak pembelaan merujuk kepada saksi ke-18 yang juga abang kandung mangsa iaitu, Dr Abdul Aziz Hassan.

Melalui tulisan di blog berkenaan, penulis kecewa terhadap 'abang' yang disifatkan sebagai hero dalam keluarga.

Penulis blog turut meluahkan kekesalan dengan tindakan 'abang' yang dikatanya menjual harta pusaka.

Blog berkenaan turut menceritakan kisah ibu meninggal dunia pada tahun ini (2004) dan setiap minggu sebelum meninggal, ibu bertanya mengenai bila hartanya akan dipulangkan oleh abang.

"Dua minggu sebelum meninggal dunia, penulis mengungkit perkara itu namun dia akhirnya meninggal dunia tanpa hajatnya tertunai," kata Mohamad Shafee ketika membaca isi kandungan blog berkenaan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salim Soib @ Hamid bagaimanapun membantah ketika Muhammad Shafee sedang membacakan dokumen ketiga atas alasan jika dibacakan kepada semua di mahkamah adalah tidak baik.

Muhammad Shafee kemudian berhujah kerana Abdul Aziz dalam keterangan kelmarin, mendakwa hubungan beliau dengan Nazrin baik.

Ab Karim kemudian membuat keputusan supaya Abdul Aziz membaca terlebih dahulu dokumen itu dan jika dipersetujui saksi, Muhammad Shafee boleh membacakan kesemuanya.

Muhammad Shafee: Nazrin ada menulis blog mengenai kamu, walaupun tidak menyebut nama kamu, dia tulis sebagai 'abang'?

Abdul Aziz: Ya.

Muhammad Shafie: Adakah kamu tahu blog Nazrin ada mengenai kamu?

Abdul Aziz: Saya tidak tahu.

Muhammad Shafie: Dalam artikel itu, Nazrin tidak menganggap kamu abang yang baik.

Abdul Aziz: Ya, sehingga 2007.

Ketika disoal Muhammad Shafee mengenai blog itu ditulis oleh Nazrin, Abdul Aziz menjawab: "Berkemungkinan ya".

Kelmarin, dalam keterangan Abdul Aziz di mahkamah, beliau menyatakan dirinya seperti seorang 'bapa' kepada adiknya itu kerana bapa mereka meninggal dunia ketika mereka masing-masing berusia 22 dan 12 tahun.

Abdul Aziz berkata, mereka rapat walau jarang bertemu kerana Nazrin selalu sibuk dengan kerjaya selain adiknya itu seorang perahsia dan lebih suka bercerita masalah dengan rakannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!