Cabaran SACC Masta Chep Squid 2023 buru menu terbaik
SHAH ALAM - Seramai 12 peserta berentap dalam pertandingan memasak ala Masterchef iaitu Cabaran SACC Masta Chep Squid 2023 yang berlangsung di Restoran SACC Kelana Seafood di sini pada Rabu.
Peserta terdiri daripada kakitangan SACC Food Chain Sdn Bhd (SFCSB) dan SACC Convec Sdn Bhd (SCSB) mempamerkan kemahiran memasak hidangan kategori sotong gergasi dan sotong slice bagi merebut wang tunai RM5,400.
Ketua Pegawai Eksekutif SCSB, Azlina Amran berkata, juri terdiri chef eksekutif dan pihak pengurusan akan menilai masakan peserta melalui beberapa kriteria seperti rasa, kreativiti dan persembahan makanan.
Menurutnya, menu yang mendapat tempat pertama akan dipilih sebagai salah satu menu baharu Restoran SACC Kelana Seafood yang akan dilancarkan serentak dengan penukaran nama baharu restoran tersebut.
“Selain penukaran menu dan nama, kami juga akan memastikan bahawa perkhidmatan yang diberikan oleh restoran kami adalah yang terbaik.
"Kami juga ingin menarik lebih ramai pelanggan baru untuk mencuba makanan laut yang segar dan lazat di restoran kami ini," katanya menerusi kenyataan.
Katanya, lokasi restoran yang terletak di tepi tasik Shah Alam bersesuaian untuk pelanggan yang inginkan suasana ‘nature’ dan ‘healing’.
Ujarnya, acara-acara seperti sambutan hari lahir, hari perpisahan dan program makan malam juga sesuai diadakan di restoran berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!