Pengarah syarikat bebas kes AMLA RM9.1 juta, pecah amanah RM7.6 juta
KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat pembinaan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu kes pengubahan wang haram RM9.1 juta dan pecah amanah RM7.6 juta, antara tahun 2013 hingga 2017.
Hakim, Datin Sabariah Othman memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pengarah syarikat, Lau Kok Loon, 80, di akhir kes pendakwaan.
“Saya bersetuju siasatan dilakukan tidak lengkap menyebabkan banyak maklumat penting tidak disiasat.
“Berdasarkan hujahan pihak pembelaan, saya bersetuju pertuduhan ini cacat dan tidak sah maka tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.
Dalam prosiding itu, Kok Loon diwakili peguam, Lee Keng Fatt manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak.
Seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 27 Julai 2020.
Mengikut pertuduhan pertama, warga emas itu didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang melalui akaun simpanan tetap Hong Leong Bank miliknya kepada akaun simpanan semasa bank sama yang juga miliknya melalui 34 transaksi pemindahan berjumlah RM9,155,644.23 hasil aktiviti haram.
Kesalahan didakwa dilakukan di Hong Leong Bank, Jalan Perak, di sini, antara 4 Disember 2013 hingga 19 September 2017 mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Kok Loon dituduh atas satu kes pecah amanah empat cek Hong Leong Bank milik Semenyih Jaya Sdn Bhd yang mana secara keseluruhan bernilai RM7,608,167.43.
Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Sungai Besi, di sini, antara 27 Ogos dan 3 September 2013 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!