Warga emas mati dalam kebakaran
IPOH - Seorang lelaki warga emas ditemui mati selepas kediamannya di Taman Pinji Mewah, di sini terbakar, pagi tadi.
Mayat dikenal pasti sebagai Ooi Hock Chuan, 63, ditemui di ruang tamu kediaman dua tingkat berkenaan dalam keadaan kesan lecur hampir 40 peratus.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, mangsa ditemui ketika operasi menyelamat dijalankan 20 anggota dari dua balai bomba sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.14 pagi.
“Sebaik tiba, anggota dimaklumkan oleh jiran bahawa terdapat seorang mangsa berada di rumah itu.
"Operasi menyelamat segera dijalankan sebelum menemui mangsa di bahagian ruang tamu dan telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman berdepan kesukaran kerana keadaan rumah yang dipenuhi timbunan bahan buangan seperti baju-baju lama dan besi.
"Asap tebal memenuhi ruang rumah yang musnah hampir 40 peratus, bagaimanapun kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain," katanya.
Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Operasi dijalankan anggota bomba dari Balai Bomba Pasir Puteh dan Simpang Pulai bersama kekuatan dua jentera itu tamat pada jam 7.30 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!