Panglima Tentera Darat terima anugerah 'Hall of Honor'

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi membuat kunjungan hormat ke atas Panglima Tentera Darat Kanada, Leftenan Jeneral Wayne D. Eyre. - Foto Tentera Darat
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi membuat kunjungan hormat ke atas Panglima Tentera Darat Kanada, Leftenan Jeneral Wayne D. Eyre. - Foto Tentera Darat
A
A
A

KUALA LUMPUR – Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi penuntut luar negara pertama dianugerahkan sebagai ahli ‘Hall of Honor’ Maktab Turus Tentera Darat Kanada (CACSC).

Majlis penganugerahan kepada Hasbullah diadakan sempena majlis Graduasi Penuntut Army Operation Course Siri 41 CACSC di Kingston, Kanada pada 5 Disember lalu atas pencapaian terbaik alumni yang dilantik sebagai pemerintah tertinggi dalam perkhidmatan.

Hasbullah yang memegang jawatan Panglima Tentera Darat pada September tahun lalu berkata, beliau berbangga kerana membawa nama Malaysia serta pasukan untuk memahat satu lagi pencapaian tinggi di peringkat antarabangsa.

“Ini bukan pencapaian saya seorang saja tetapi ia pencapaian Tentera Darat serta negara dan saya berharap semoga jejak ini akan diikuti oleh pegawai muda Tentera Darat pada masa hadapan,” katanya pada sidang media di Kem Sungai Besi di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi - FOTO SHARIFUDIN ABD RAHIM
Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi - FOTO SHARIFUDIN ABD RAHIM

Berkongsi pengalaman selama lapan bulan berkursus di CACSC bermula 17 November 1992, Hasbullah yang ketika itu berpangkat Mejar berkata, keadaan cuaca sejuk sehingga -25 darjah Celsius antara cabaran yang perit yang perli ditempuhi setiap hari.

“Persiapan mental dan fizikal sudah dibuat sebelum ke Kanada dan segala bentuk halangan dapat diharungi dengan mudah.

“Banyak ilmu saya pelajari melalui kemudahan pembelajaran yang disediakan oleh pihak pengurusan kolej.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa itu, 63 penuntut mendaftarkan diri dan hanya ada tujuh pelajar asing termasuk saya dan apa yang pasti banyak ilmu yang dipelajari dalam tempoh terbabit,” katanya.

Beliau juga mahu setiap warga Tentera Darat berada pada tahap terbaik untuk melaksanakan amanah menjaga kedaulatan negara.

“Apa yang saya pelajari di sana tidak banyak berbeza. Ia berbalik kepada perkara asas iaitu semua perkara mesti ke arah sebagai anggota dan pegawai tentera.

“Tentera Darat akan melaksanakan penambahbaikan berterusan seiring dengan kemajuan teknologi dunia.

“Saya berharap warga Tentera Darat menjadikan kerja sebagai satu ibadah dan sahutlah cabaran supaya menjadi ikon Tentera Darat tanpa mengabaikan tuntutan agama serta nilai positif.

“Penganugerahan ini secara tidak langsung mengiktiraf ketenteraan Malaysia tambahan pula mereka adalah negara kelas pertama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!