Pangkalan data raya rekod, daftar petani bakal diwujudkan
SHAH ALAM - Cadangan untuk menggubal Enakmen Pendaftaran Petani telah dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri Pertanian dengan Exco-exco Pertanian Negeri.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi satu kenyataan berkata, penggubalan itu bertujuan untuk menyediakan satu pangkalan data raya yang merekodkan dan mendaftarkan petani di Malaysia.
“Melalui usaha ini, kerja-kerja untuk mengenal pasti bilangan sebenar petani yang terlibat dalam sektor pertanian dapat memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan dan insentif kepada petani.
“Selain itu ianya juga dapat dijadikan rujukan semua pihak khususnya dalam merancang pembangunan sektor agromakanan serta mengelakkan berlaku ketirisan dalam pemberian bantuan kepada petani,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu turut dihadiri Timbalannya, Chan Foong Hin, Exco Pertanian daripada 13 negeri, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pegawai Kanan KPKM serta Ketua Jabatan dan Agensi KPKM.
Menurut kenyataan itu, agenda mesyuarat merangkumi 11 iaitu dua kertas pertimbangan dan sembilan kertas makluman.
Dalam pada itu, KPKM memberitahu, perbincangan tersebut juga mengambil maklum berkenaan Inisiatif Pengukuhan Data Sektor Pertanian dan Agromakanan yang memerlukan sokongan tadbir urus data daripada pihak Kerajaan Negeri untuk memastikan data pertanian terkini serta dipercayai.
“Selain itu, Pelaksanaan Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Cadangan memperkukuh industri penternakan ayam.
“Ia bertujuan untuk keterjaminan makanan negara melalui garis panduan perancangan ladang penternakan ayam yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia),” jelas kenyataan itu.
Menerusi kenyataan itu lagi, agenda lain yang dibincangkan mengenai situasi bekalan beras dan benih padi negara serta status pelaksanaan Jualan Agro Madani.
Dalam kenyataan KPKM itu lagi, mesyuarat tersebut turut dimaklumkan tentang senarai Invasive Alien Species (IAS) di dalam tanaman, ternakan dan haiwan akuatik yang memberi impak negatif kepada sektor pertanian dan biodiversiti negara.
Antara perkara lain yang bincangkan adalah cadangan KPKM untuk menambah baik Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 dengan memasukkan Bubu naga atau bubu kamban sebagai tambahan peralatan menangkap ikan yang dilarang.
“Ini kerana ia telah menimbulkan konflik sosial dengan nelayan berlesen yang mengoperasikan peralatan pukat hanyut disebabkan oleh kerosakan yang berlaku terhadap pukat akibat tersangkut kepada bubu naga.
“Selain itu, kertas makluman berkenaan pelaksanaan Program Agropreneur Muda turut dibentangkan di dalam mesyuarat ini sebagai satu usaha KPKM untuk membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor agromakanan,” kata kenyataan itu.
Jelas KPKM, mesyuarat tersebut akan terus dijadikan sebagai salah satu usaha kolaboratif dengan kerajaan negeri untuk meningkatkan sekuriti makanan, memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!