Konsert Coldplay sepatutnya dibatalkan - Mufti Terengganu
KUALA TERENGGANU - Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang bakal dianjurkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 November depan sepatutnya dibatalkan pada saat akhir.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata, ia bagi menzahirkan rasa simpati terhadap kesengsaraan serta kesedihan yang ditanggung umat Islam di Palestin ketika ini.
"Konsert ini sepatutnya dibatalkan ketika isu memboikot sumbangan terhadap Israel kini sedang heboh diperkatakan.
"Maka sumbangan kepada elemen-elemen negatif yang dikaitkan dengan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) serta yang berkaitan juga sepatutnya 'diboikot' juga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Dalam pada itu katanya, umat Islam dinasihatkan untuk terus berusaha memperbaiki diri terutama dalam meningkatan ibadah kepada ALLAH SWT.
"Dalam tempoh kempen untuk melakukan boikot atau himpunan sebagai tanda solidariti kepada saudara Islam di Palestin, adalah perlu juga kita sebagai umat Islam meningkatkan amal ibadah khususnya melibatkan tumpuan kita di masjid-masjid di negara ini.
"Seharusnya kita umat Islam mengimarahkan masjid dan majlis ilmu untuk memperbaiki ibadah kita ke tahap yang lebih baik pada setiap hari dan tidak terhenti setakat itu sahaja.
"Usaha boikot pun tidak seharusnya dibuat secara bermusim. Ia perlu secara berterusan bagi mengukuhkan lagi usaha kita ke arah membebaskan Palestin yang kini dibelenggu kezaliman," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad Sabri turut mengingatkan kepada seluruh umat Islam supaya mengutamakan dan tidak melupakan urusan akhirat.
"Apa yang paling penting dalam kehidupan kita ialah pengakhiran kita sebelum kematian yang mana kita boleh mengucap dua kalimah syahadah dan dapat keredaan ALLAH SWT.
"Kita buat sesuatu perkara kerana ALLAH SWT bukan kerana bermusim, disebabkan sesuatu isu atau nak menunjuk kepada orang lain. Buat sesuatu kerana ALLAH SWT.
"Sebab itu kita perlu memahami tentang konsep tauhid dan akidah Islam kerana ia adalah jalan untuk membawa kita kepada keredaan ALLAH SWT," ujarnya.
Pada 9 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di media sosialnya mengalu-alukan kedatangan kumpulan rock terkenal British itu yang akan menjayakan konsertnya di negara ini.
Bagaimanapun, kunjungan kumpulan berkenaan menerima kecaman segelintir pihak kerana diketahui umum sebagai pendukung LGBT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!