Permohonan Bersatu: Armizan gesa semua pihak akur keputusan mahkamah
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menggesa semua pihak akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mencabar keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang enggan mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.
Beliau yang juga pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, keputusan itu bersandarkan kepada peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada.
Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika mahu mengemukakan rayuan bagi mencabar keputusan mahkamah berkenaan.
"Itu hak mereka. Saya tidak perlu untuk mengulas sebagaimana pandangan saya tentang kes ini pun yang saya fikir tidak penting.
"Yang penting adalah keputusan dan juga sebab penghakiman yang telah dibuat oleh hakim bersandarkan kepada dua asas perundangan Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.
"Dan juga duluan penghakiman yang telah diputuskan oleh mahkamah tertinggi, Mahkamah Persekutuan sebelum ini bahawa prosiding di Parlimen ini, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menyemak sebarang keputusan yang dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat pada Khamis.
Bersatu terdahulu dilaporkan gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar keputusan Johari yang enggan mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.
Perkara itu ditentukan selepas Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan dua pihak untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman supaya Johari mengisytiharkan kerusi yang disandang oleh empat ahli Parlimen itu, kosong.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam parti itu pada 17 April lalu.
Bersatu menamakan Johari dan empat ahli Parlimen itu iaitu Armizan, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!