Laksana langkah intervensi tangani isu kekurangan beras tempatan

Mohamad Sabu - Foto ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
Mohamad Sabu - Foto ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan pelbagai langkah intervensi bagi mengatasi masalah kekurangan beras putih tempatan di pasaran supaya krisis itu tidak berulang pada masa depan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, namun jika berulang sekali pun, ia tidaklah separah seperti yang berlaku pada 1971, 2008, 2014 dan pada tahun ini.

“Untuk saya nak beri jaminan 100 peratus bahawa (krisis beras ini) tidak akan berulang payah sebab (berdasarkan sejarah) krisis beras di Malaysia ini berlaku tahun 1971, kali kedua pada 2008 hingga berlaku penetapan harga RM18 untuk 10 kilogram (kg) sampai ke hari ini.

“Krisis seterusnya pada 2014 yang mewujudkan Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) digantikan.

"Kemudian berlaku (lagi) sekarang (2023).

“Memang kita harapkan tidak berlaku lagi krisis pada masa akan datang tetapi berkaitan hal-hal makanan ini, ia bergantung juga kepada keadaan cuaca, situasi antarabangsa dan sebagainya.

"Tapi kita tidak boleh jadikan ia satu alasan, kita kena berusaha,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) tentang sejauh mana kejayaan program intervensi beras putih tempatan dan adakah ia memadai untuk memastikan tidak berulangnya krisis bekalan beras pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Mohamad memberitahu, keadaan kekurangan beras kali ini juga berlaku disebabkan pengguna yang panik dan membuat pembelian secara pukal.

“Paling hebat (krisis kekurangan beras) berlaku pada 2014. Waktu itu tak ada TikTok jadi ramai rakyat tidak cemas, (sebab) tak tahu.

"Tapi tahun itu paling teruk sebab misalnya (jika ada dakwaan yang disebarkan dalam media sosial kononnya) bulan depan beras tak ada, ia menyebabkan orang panik dan membeli secara banyak.

“Sebelum ini orang tak beli beras tempatan kerana harganya murah.

"Mydin mengatakan bahawa beras putih tempatan kadang-kadag sampai stok naik habuk sebab orang tak beli tapi bila beras import naik mendadak, maka (orang) cari beras tempatan.

"Oleh itu beras tempatan ini sekarang ini dicari oleh pengguna dan menjadikannya lebih popular,” ujarnya.

Menurutnya, antara langkah intervensi yang dilakukan adalah kolaborasi secara strategik dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan penguatkuasaan arahan had pembelian maksimum kepada pembeli sebagaimana dalam Peraturan 10(1)(b) Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.

Katanya, KPKM turut melancarkan program khas beras putih tempatan secara konsesus bersama pengilang beras untuk pengeluaran sebanyak 20 peratus stok pengilang padi secara berfasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!