Wan Saiful gesa Guan Eng ambil tindakan terhadap BN
KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng digesa turut mengambil tindakan terhadap Barisan Nasional (BN) yang didakwa mengaitkan beberapa pemimpin parti itu dengan Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, ia kerana isu pertalian antara pemimpin DAP dengan Chin Peng itu ditimbulkan dalam satu dokumen yang menjadi bahan kempen BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Ini bukan isu yang ditimbulkan Perikatan Nasional (PN). Asal usulnya dari sini (bahan kempen BN).
“Jadi sekiranya ada apa-apa tindakan yang mahu diambil, saya gesa DAP berlaku adil dan pastikan ambil tindakan kepada mereka yang mencetak serta mengedarkan buku ini,” dakwanya dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sebelum ini, Guan Eng dilaporkan menyaman Ahli Parlimen Kepala Batas daripada Pas, Siti Mastura Muhammad kerana mengaitkan keluarganya dengan Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, tindakan undang-undang berkenaan dilakukan kerana Siti Mastura didakwa menimbulkan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina sekali gus menyentuh unsur perkauman dan ekstremis.
Dakwa Wan Saiful lagi, dokumen itu menjadi satu dokumen rasmi yang diterima pemimpin-pemimpun UMNO peringkat akar umbi sempena kempen PRU15 tahun lalu.
“Ini isu sebenarnya dan saya tertunggu-tunggu juga bila Yang Berhormat (YB) Bagan nak ambil tindakan undang-undang terhadap BN sekiranya benar-benar DAP nak membersihkan nama,” ujarnya.
Teresa ambil tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad kerana mengaitkannya mempunyai hubungan dengan komunis.
Beliau berkata, ia kerana Siti Mastura tidak menarik balik kenyataan yang dikeluarkan selain tidak membuat permohonan maaf atas dakwaan yang dibuat.
“Pada 10 November lalu saya telah mengeluarkan surat tuntutan kepada Siti Mastura untuk menarik balik kenyataan yang dibuatnya. Saya beri dia tiga hari dan telah sertakan surat tuntutan.
"Namun sampai hari ini saya masih tidak terima apa-apa surat mohon maaf tentang kenyataan yang dibuat itu. Jadi saya telah arahkan peguam saya untuk ambil tindakan mahkamah," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
Sebelum ini, dalam rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat, Siti Mastura pada majlis ceramah politik di Kemaman, Terengganu, didakwa mengaitkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa pengerusi parti itu, Lim Guan Eng sebagai sepupu bekas Ketua PKM, Chin Peng
Selain itu, Siti Mastura dalam rakaman itu juga mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew adalah sepupu Kit Siang selain mengaitkan isteri Guan Eng dengan Teresa.
Siti Mastura turut mendakwa beberapa lagi pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan.
Ekoran itu, Guan Eng dilaporkan telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura.
Dalam pada itu, Teresa juga berasa pelik dengan tuduhan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kepala Batas itu kerana ia tidak disertakan dengan sebarang bukti.
"Saya agak hairan, biasanya kita nak lemparkan tuduhan kepada sesiapa, kita perlu tunjukkan bukti.
"Kena tunjukkan bukti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) saya dan juga isteri Lim Guan Eng, Chin Peng atau sesiapa (mempunyai kaitan kekeluargaan). Tetapi dia kata (semasa sidang media dipanggil polis) beri bahan rujukan kepada polis," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!