Wanita UMNO persoal kewajaran kerajaan mansuh BIPK
SHAH ALAM - Wanita UMNO hari ini mempersoalkan kewajaran kerajaan memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bagi penjawat awam.
Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, jika benar ia tidak lagi relevan sepatutnya pemansuhan berkenaan tidak dibuat secara pukul rata.
Menurutnya, bidang kedoktoran contohnya, Malaysia masih kekurangan pakar yang penting di kebanyakan hospital terutama di luar Lembah Klang.
"Sebaiknya elaun kritikal masih dibuat untuk jawatan ini sekali gus memberikan insentif supaya mereka melanjutkan pengajian dan kepakaran di dalam pengkhususan yang kekurangan tenaga kerja.
"Keputusan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini nampaknya bukan memberi sinar kepada penjawat awam bagi permulaan tahun baharu tapi khabar duka yang akhirnya merugikan kerajaan sendiri.
"Slogan 'PH menang rakyat senang' nampaknya sudah boleh 'dimuziumkan' kerana sebenarnya rakyat lebih menderita di bawah PH. Sudahlah satu-persatu elaun untuk rakyat ditarik dan dikurangkan kini penjawat awam pula bakal berduka d iambang tahun 2020," katanya.
Justeru, katanya, rakyat harus menilai dengan bijak dan mengambil tindakan melalui peti undi pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!