Guru, tiga pelajar antara 630 ditahan babit kes dadah

Antara rampasan dadah dalam operasi Tapis Bersepadu di Kelantan selama 10 hari sehingga Rabu. - FOTO SINAR HARIAN, gambar kecil: Muhammad Zaki
Antara rampasan dadah dalam operasi Tapis Bersepadu di Kelantan selama 10 hari sehingga Rabu. - FOTO SINAR HARIAN, gambar kecil: Muhammad Zaki
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang guru lelaki dan tiga pelajar sekolah menengah antara 630 individu yang ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kesalahan dadah dalam Operasi Tapis Bersepadu di negeri ini selama 10 hari sehingga Rabu.

Kesemua mereka berusia lingkungan 14 tahun sehingga 59 tahun itu ditahan bersama penemuan pelbagai jenis dadah yang keseluruhannya berjumlah RM470,354.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penahanan ke atas guru berusia 54 tahun itu dibuat dalam satu serbuan di Kampung Bendang Luas, Chabang Empat Tumpat.

Menurut beliau, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) daerah itu menahan suspek pada jam 5 petang, Sabtu lalu dan hasil pemeriksaan ke atas suspek menjumpai dua pil disyaki dadah jenis pil kuda.

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati dia positif bahan terlarang itu.

“Suspek tidak memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah dan ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Khamis.

Sementara itu, dalam serbuan pada jam 12.45 petang pada Rabu, sepasukan BSJN Tanah Merah menahan sepasang suami isteri berusia 52 tahun dan 47 tahun di sebuah rumah di Kampung Kusial Bharu Kusial di Tanah Merah.

Kata Muhamad Zaki, pemeriksaan ke atas rumah tersebut menemukan kira-kira 1.4 kilogram (kg) dadah disyaki ganja dianggarkan bernilai RM13,883.

Artikel Berkaitan:

“Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek dapati suspek lelaki positif dadah dan mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

“Mereka ditahan reman selama seminggu sehingga 22 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan dadah-dadah yang dirampas dalam keseluruhan operasi itu melibatkan sejumlah 38,688 pil kuda, heroin sebanyak 67.92 gram (g), ganja (1.4kg), syabu (48g), pil psikotropik (572 biji), ubat batuk (13 liter), air ketum (258 liter) dan daun ketum (12kg).

“Jumlah dadah yang dirampas ini dipercayai boleh digunakan oleh 42,262 penagih dadah.

“Polis juga turut menyita pelbagai harta termasuk kenderaan, wang tunai dan wang dalam akaun dianggarkan bernilai RM10,968 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!