[INFOGRAFIK] Bukti kekejaman Zionis
Bunuh orang awam tidak berdosa, musnahkan fasiliti penduduk di Gaza
Ratusan kilogram (kg) bom digugurkan pada setiap hari tanpa sedikit pun rasa simpati terhadap penduduk yang mendiami kawasan berkenaan.
Habis rumah, masjid, sekolah dan hospital ‘dikerjakan’ oleh rejim Zionis itu sehingga setiap satunya runtuh menyembah bumi.
Alasan mereka adalah untuk mencari tempat persembunyian pejuang Hamas tetapi rejim zalim itu gagal menemukannya.
Hakikatnya, serangan yang mereka lakukan itu cenderung ke arah pembunuhan beramai-ramai.
Menurut pihak berkuasa Gaza, lebih kurang 30,000 tan bom telah digugurkan rejim itu sejak kempen keganasan ‘Operation Iron Sword’ dilancarkan pada 7 Oktober lalu.
Tindakan mereka telah membunuh ribuan nyawa yang tidak berdosa, khususnya wanita dan kanak-kanak.
Sehingga 16 Oktober, seramai 11,500 penduduk Gaza dibunuh dalam siri serangan udara yang dilancarkan, menurut pejabat media kerajaan di Gaza.
Daripada jumlah tersebut, 4,700 adalah kanak-kanak manakala 3,160 pula adalah wanita, jelasnya.
“Hampir 30,000 dilaporkan cedera yang mana 70 peratus daripada jumlah tersebut adalah wanita dan kanak-kanak,” tambah laporan itu lagi.
Pejabat media berkenaan turut menjelaskan, seramai 22 anggota pertahanan awam dan 51 wartawan dibunuh rejim Zionis.
Tidak cukup dengan itu, rejim zalim itu juga telah melumpuhkan sistem kehidupan manusia di bumi Gaza.
“Situasi kemanusiaan telah mencapai tahap yang sangat buruk kerana penduduk berdepan dengan krisis kekurangan makanan, air bersih, bahan api dan elektrik,” menurut laporan Al-Jazeera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!