Sukan paragliding gamatkan Kuala Kubu Bharu pada Sabtu ini
AKSI menarik sukan paragliding bakal menghangatkan lagi aktiviti harian penduduk daerah Kuala Kubu Bharu, Selangor bermula Sabtu ini.
Pesta Paragliding Kuala Kubu Bharu dan Pertandingan Ketepatan Mendarat 2023 akan memeriahkan lagi Kuala Kubu Bharu sebagai destinasi pelancongan tempatan terbaik di Selangor.
Pengarah projek, Nazri Sulaiman berkata, penganjuran pesta paragliding yang bakal berlangsung selama dua hari dijangka mampu menarik kehadiran pengunjung sekitar 6,000 orang.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, lebih 1,000 pengunjung luar negara disasarkan hadir pada festival yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor di Taman Tasik Melinium, Kuala Kubu Bharu.
Kata beliau, festival itu akan melibatkan aktiviti pelancongan sukan udara yang popular di Malaysia, seterusnya diketengahkan sebagai produk pelancongan di Hulu Selangor.
"Antara acara yang ditawarkan adalah Paragliding Fun Fly, Tandem Paragliding, Aero Modeling, Persembahan Drone dan Paramotor Microlight.
"Festival ini dianjurkan dengan matlamat untuk mempromosikan produk dan program pelancongan yang dijalankan di Selangor, seterusnya memperkenalkan aktiviti paragliding sebagai satu produk sukan udara kepada orang ramai," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Nazri berkata, festival tersebut diharap dapat dipromosikan sebagai aktiviti pelancongan domestik dalam kalangan masyarakat pelbagai generasi.
Tambahnya, sukan lasak itu juga diharap mampu menjadi acara sukan tahunan dalam kalendar pelancongan negeri Selangor.
Dalam masa sama menurutnya, penganjuran pesta itu bertujuan menjadikan Kuala Kubu Bharu sebagai hub sukan udara yang mampu menerima juruterbang-juruterbang paragliding dari dalam dan luar negara.
Nazri berkata, pesta paragliding kali ini bakal menampilkan CloudBass sebagai rakan teknikal dan pengurusan koordinator yang mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Seniman Malaysia sebagai Rakan Strategik.
Kata beliau, penganjuran festival itu bakal memberi impak menerusi peningkatan jumlah kemasukan dan kehadiran para pelancong tempatan dan luar negara ke Kuala Kubu Bharu.
Jelas beliau, ia juga mampu merancakkan lagi sosio ekonomi buat penduduk setempat seperti pengusaha premis penginapan, perusahaan industri kecil sederhana serta pengusaha kedai makan sepanjang festival berlangsung.
"Pada masa sama, festival ini turut menjadi platform dan pendedahan buat orang ramai mengetahui lebih lanjut tentang sukan udara yang terdapat di Hulu Selangor.
"Orang ramai dijemput hadir dan memberi sokong kepada festival julung kali diadakan ini dan maklumat lanjut boleh didapati di Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok festival ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!