'Semangat, jiwa besar anak kecil beri ketabahan' - Nurul Ain

Nurul Ain menceritakan pengalamannya pada temu bual eksklusif ‘Seksa Dunia di Bumi Gaza’ bersama Bernama Radio di Wisma Bernama hari ini. Foto Bernama
Nurul Ain menceritakan pengalamannya pada temu bual eksklusif ‘Seksa Dunia di Bumi Gaza’ bersama Bernama Radio di Wisma Bernama hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron yang sebelum ini terkandas di Palestin dan menyaksikan sendiri serangan misil dan bedilan bertalu-talu tentera Israel berkata semangat dan jiwa besar anak-anak kecil di bumi Gaza sebenarnya yang menjadi penguat semangat diri untuk tabah dalam menghadapi situasi peperangan yang getir dan belum pernah dialaminya seumur hidup.

Nurul Ain, 37, yang bekerja sebagai pembantu doktor gigi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata, semangat yang diperoleh daripada anak kecil di Gaza bukan hanya menguatkan dirinya untuk bertahan dengan situasi getir itu hari demi hari, malah berjaya 'membunuh' perasaan takut ketika menyalurkan bantuan kepada penduduk di sana.

"Serangan demi serangan yang dilalui setiap hari tidak mustahillah kalau saya kata saya tidak berasa takut namun apabila melihat reaksi berbeza daripada anak-anak Gaza yang begitu tenang, di situlah menjadi detik yang mengubah perasaan saya.

Sehingga ada masanya apabila saya menutup telinga kerana mendengar bunyi letupan di sana-sini, tindakan saya itu ditegah oleh anak-anak kecil dan mereka berkata kepada saya jangan takut, tidak ada masalah," katanya yang merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang menjadi saksi terhadap kekejaman rejim Zionis Israel di bumi Gaza.

Mohamed ketika menceritakan pengalaman mereka pada temu bual eksklusif ‘Seksa Dunia di Bumi Gaza’ bersama Bernama Radio di Wisma Bernama hari ini. - Foto Bernama
Mohamed ketika menceritakan pengalaman mereka pada temu bual eksklusif ‘Seksa Dunia di Bumi Gaza’ bersama Bernama Radio di Wisma Bernama hari ini. - Foto Bernama

Bagaimanapun, serangan misil dan bedilan bertalu-talu yang hampir tiga kali meragut nyawa Nurul Ain dan suami seorang warga Palestin, Mohamed A. M. Shaat, 33, masih lagi terngiang-ngiang dalam ingatan, katanya ketika ditemui di sini hari ini yang menjadi tetamu di Bernama Radio dalam rancangan temu bual khas bertajuk "Seksa Dunia Di Bumi Gaza”.

Menceritakan detik itu, Nurul Ain yang terkandas di Khan Yunis, Gaza sejak 7 Okt lepas berkata serangan misil di kawasan awam serta penempatan berlaku tidak jauh dari lokasi beliau dan suami berada pada jarak sekitar 200 hingga 500 meter.

Artikel Berkaitan:

Mohamed bersama Nurul Ain pada temu bual eksklusif ‘Seksa Dunia di Bumi Gaza’ bersama Bernama Radio di Wisma Bernama hari ini. - Foto Bernama
Mohamed bersama Nurul Ain pada temu bual eksklusif ‘Seksa Dunia di Bumi Gaza’ bersama Bernama Radio di Wisma Bernama hari ini. - Foto Bernama

"Ada ketika serangan berlaku, saya dan suami keluar untuk mencari barangan bantuan termasuk makanan, selimut dan sebagainya meskipun tahu barangan keperluan sukar untuk didapati... bunyi letupan misil yang sangat kuat kedengaran di sana-sini dan saya lihat sendiri asap dan api.

Kita tahu kita hampir terkorban kerana serangan misil berada pada jarak hanya 200 hingga 500 meter sahaja daripada kami,” katanya.

Beliau berkata, meskipun perlu berdepan dengan risiko yang ada di mana-mana, namun atas rasa tanggungjawab beliau dan suami tetap akan memastikan sumbangan daripada rakyat Malaysia sampai kepada penduduk Gaza.

Rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Gaza, Nurul Ain Haron (kiri) bersama suaminya warga Palestin, Mohamed ketika menceritakan kisah mereka. - Foto Bernama
Rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Gaza, Nurul Ain Haron (kiri) bersama suaminya warga Palestin, Mohamed ketika menceritakan kisah mereka. - Foto Bernama

Nurul Ain juga berkata, saat yang paling tidak dapat dilupakan apabila berdepan dengan situasi serangan berterusan selama lapan jam dan menyaksikan sendiri para syuhada yang berbau wangi.

"Malam itu, talian Internet dan telefon diputuskan, suami saya kata ini bukan petanda yang baik, malam itu serangan memang sangat hampir dengan kami, saya kata kalaulah malam ini saya mati, maka matilah saya. Dalam tempoh 11 malam hingga 7 pagi, bunyi bedilan misil tidak henti dan diikuti pula dengan bunyi tembakan daripada kereta kebal.

Selain itu, saya juga masih ingat bila tiba di bilik mayat untuk mengecam ahli keluarga suami yang dikhuatiri telah meninggal dunia, saya sendiri saksikan jasad-jasad para syuhada ini langsung tidak berbau hanyir darah atau bau busuk tetapi sebaliknya berbau wangi,” katanya.

Nurul Ain dan suami berada di Gaza sejak 1 Oktober lepas untuk melawat keluarga mentuanya sebelum pergolakan di Gaza tercetus.

Seminggu berada di Gaza sebelum tercetusnya serangan, Nurul Ain yang buat pertama kalinya menjejakkan kaki di Gaza turut menceritakan keindahan bumi para nabi dengan bangunan lama yang tersergam indah serta hidup dengan aktiviti harian termasuk perniagaan.

Nurul Ain tidak dapat menahan perasaan pilu ketika menceritakan pengalamannya. - Foto Bernama
Nurul Ain tidak dapat menahan perasaan pilu ketika menceritakan pengalamannya. - Foto Bernama

Nurul Ain berkata, sejak hari pertama tercetusnya konflik, bekalan elektrik dan air telah terputus dan hanya bergantung dengan tenaga suria untuk mengecas telefon bimbit dan sebagainya.

"Telefon bimbit kita cas pakai tenaga suria begitu juga dengan bateri-bateri kereta dan motor. Mandi pula hanya menggunakan tisu basah... tetapi setakat saya berada di sana, belum pernah terputus bekalan makanan kerana jiran-jiran semua saling membantu dan sangat peka dengan keadaan jiran yang lain,” katanya.

Nurul Ain berkata, meskipun telah berada di luar Gaza, namun bantuan tetap akan disalurkan selagi ada yang menderma.

"Saya akan teruskan (salur bantuan) sebab masih ada orang yang menderma, saya memang sudah berhubung dengan pemborong makanan termasuk penjual selimut, jika bekalan ada kita akan terus hantar kepada mangsa di sana,” katanya.

Sementara itu, Mohamed yang bekerja sebagai Pegawai Perlindungan Sinaran di UAE berkata, anak-anak Palestin sememangnya dididik untuk mencintai tanah warisan bumi mereka dan sebarang tindakan yang dilakukan walau terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun, ia adalah demi mempertahankan hak mereka.

"Bumi ini adalah tanah warisan kita. Ajaran dan didikan untuk anak-anak sampai dari generasi ke generasi. Kita tahu bahawa kita mempertahankan tanah kita, dari situ kita dapat semangat. Sebab itu, jika ada ahli keluarga yang meninggal, ahli keluarga yang lain masih bersemangat dan bersyukur kerana anak-anak dan keluarga mereka telah mati syahid,” katanya.

Pejabat media kerajaan di Gaza pada Rabu mengumumkan bahawa jumlah kematian akibat serangan di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober telah meningkat kepada 11,500, termasuk 4,710 kanak-kanak dan 3,160 wanita.

Nurul Ain bersama suaminya dibawa keluar dari Gaza melalui sempadan Rafah di Mesir tiba di tanah air dengan penerbangan Qatar Airways dari Doha, Qatar, pada 14 November lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!