Ahmad Samsuri calon Pas PRK Kemaman
KEMAMAN - Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diangkat sebagai calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang berlangsung pada 2 Disember depan.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sempena Program Ceramah Perdana dan Pengisytiharan Calon Pas PRK P040 Parlimen Kemaman di Arena Square di Cukai, di sini malam Khamis.
Menurutnya, lima nama calon berada dalam senarai akhir untuk dinilai dan melalui tapisan yang teliti.
"Kelima-lima calon adalah calon yang hebat. Tetapi setelah membuat kajian di lapangan kita dapati calon yang dipilih ini adalah calon terbaik untuk Parlimen ini dan telah dipersetujui oleh seluruh pucuk pimpinan parti dan akar umbi.
"Tokoh ini juga berjaya mengangkat parti dan pentadbiran dalam kerajaan serta berusaha mengangkat prestasi dan pencapaian negara pada tahap lebih tinggi," katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian berlangsung pada 2 Disember manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing pada 18 dan 28 November ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, calon BN Datuk Seri Ahmad Said tewas kepada Che Alias di Parlimen berkenaan dengan majoriti 27,179 undi sekali gus menyaksikan Pas mendominasi kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri berkenaan.
Sebelum itu, kerusi Parlimen berkenaan turut dimenangi Pas pada PRU14 setelah Alias menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan majoriti 2,163 undi.
Alias memperoleh 39,878 undi manakala Ahmad Shabery memperoleh 37,715 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Huzaifah Md Suhaimi (12,911 undi).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!