Kena berjaga-jaga sepanjang musim tengkujuh ini
KETIKA musim tengkujuh yang dijangka berlarutan sehingga Mac tahun depan, Merak Jalanan nak ingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling.
Hujan lebat dijangka berterusan untuk tempoh beberapa hari dan boleh mengakibatkan kejadian banjir terutama di kawasan-kawasan rendah.
Buat masa ini orang ramai tak perlulah berkhemah di kawasan berbahaya seperti laut, tasik, sungai, atau kawasan tanah tinggi yang berisiko berlaku runtuhan.
Lebih-lebih lagi setiap kali Disember, ramai yang nak habiskan cuti tahun dan membawa anak-anak keluar sempena cuti sekolah.
Walaupun setiap tahun kita diingatkan dengan nasihat sama, tetapi masih terdengar berlakunya tragedi yang meragut nyawa.
Musim tengkujuh bukanlah pesta hujung tahun kerana ia akan membawa seribu satu kesan termasuk kerosakan harta benda dan mengorbankan nyawa.
Bagi kawasan yang sudah dilanda banjir, Merak Jalanan juga nak nasihatkan supaya terus mengikut arahan pihak berkuasa. Kalau diminta berpindah ke pusat pemindahan, ikut sahaja.
Jangan berdegil, air dah naik sampai atap, baru kelam-kabut memekik panggil pihak berkuasa bantu.
Pantau dan kawal juga anak-anak, jangan biarkan mereka main air terutama di kawasan yang sudah dinaiki air.
Sebenarnya Merak Jalanan juga pernah melalui pengalaman rumah ditenggelami air ketika musim tengkujuh.
Kejadian berlaku ketika banjir besar yang melanda Lembah Klang, dua tahun lalu.
Walaupun setakat paras lutut, namun Merak Jalanan dapat rasa sendiri bagaimana sengsaranya apabila banyak barangan rosak dan mengambil masa berbulan-bulan untuk membersihkan rumah selepas banjir surut.
Semoga mangsa-mangsa banjir diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi bencana alam ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!