Waspada ancaman ejen asing
SHAH ALAM - Susulan sokongan kuat terhadap isu Palestin, negara perlu bersedia sekurang-kurangnya lima hingga 10 tahun akan datang terhadap kemungkinan ancaman luar seperti pembunuhan anggota Hamas yang berada di Malaysia.
Penolong Profesor Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Ahmad El-Muhammady berkata, modus operandi rejim Israel adalah menunggu sebelum menyerang pada ‘waktu dan tempat yang betul’.
“Sekiranya serangan seumpama ini berlaku ia akan memberi impak serius terhadap keselamatan negara.
“Ejen asing juga mungkin akan mengeksploitasi dan mengambil kesempatan terhadap kelemahan keselamatan negara untuk melaksanakan operasi,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.
Ahmad yang juga penganalisis antikeganasan berkata, terdapat ramai rakyat Palestin di Malaysia sama ada anggota Hamas dan Fatah serta rakyat biasa yang melarikan diri daripada penindasan dan kekejaman Israel.
“Pemimpin Hamas, Khalid Meshal juga pernah beberapa kali datang ke Malaysia untuk kunjungan rasmi. Ini berlaku kerana kita menyokong perjuangan Palestin.
“Dalam konteks ini, kita tidak membezakan Hamas dan Fatah. Bagi kita, Palestin adalah satu, tidak kira siapa berkuasa,” ujarnya.
Tambah beliau, pembunuhan anggota Hamas juga bukan perkara baharu di Malaysia dan tidak mustahil ia boleh berulang lagi.
“Dr Fadi Mohammad al-Batsh, seorang pensyarah warga Palestin telah dibunuh di Kuala Lumpur pada 12 April 2018 oleh ejen asing dan terdapat petunjuk kuat mengatakan pembunuhan tersebut dilakukan oleh ejen Mossad.
“Malah, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga pernah dikatakan memberi amaran bahawa semua anggota Hamas sama ada di dalam atau luar bumi Gaza akan mati,” katanya.
Jelas Ahmad yang juga Ketua Unit Kajian Tamadun Islam dan Pengajian Yahudi, dalam usaha menangkis serangan pihak luar terhadap negara sebaiknya diwujudkan pasukan khas untuk mengkaji dan menilai impak kedudukan Malaysia berhubung isu Palestin terhadap keselamatan negara.
“Pasukan khas berkenaan perlu menilai langkah-langkah keselamatan di sempadan, melaksanakan proses saringan, pemantauan selain peruntukan bajet untuk memodenkan agenda perkhidmatan perisikan negara.
“Selain itu, perlu juga dilakukan pemantauan terhadap warga Palestin di Malaysia demi memastikan keselamatan mereka,” katanya.
Ahmad turut menekankan, perisikan negara perlu mengambil langkah proaktif dan belajar daripada insiden lalu seperti pembunuhan Dr Fadi dan Kim Jong-nam pada 13 Februari 2017 serta penculikan warga Palestin pada Oktober 2022.
“Pasukan perisikan negara sememangnya mempunyai kehebatan tersendiri dan ia tidak boleh dipandang remeh berikutan kerja-kerja perisikan adalah mengenai improvisasi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!