Beri bantuan bukan bermusim
RAUB - Program pemberian sumbangan serta bantuan kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan di negara ini tidak harus dijadikan acara bermusim lebih-lebih lagi ketika berlaku kejadian-kejadian tertentu.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata, program membantu meringankan beban rakyat dijadikan usaha berterusan oleh semua pihak sama ada kerajaan mahu pun badan bukan kerajaan (NGO).
“Dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan ini, sewajarnya tidak harus terhad kepada masa atau musim-musim tertentu sahaja.
"Sebagai contoh, kalau berlaku musim tengkujuh, baru nak sediakan bantuan dan pindahkan mangsa banjir...kalau baru nak buka sekolah, baru nak beri bantuan kelengkapan sekolah," katanya.
Abu Bakar berkata demikian selepas mengagihkan bantuan kewangan untuk pembelian dua pasang seragam sekolah, kasut dan beg kepada 30 orang pelajar sekolah di kawasan Parlimen Raub, di Sekolah Kebangsaan Raub Jaya, di sini hari ini.
Katanya, masyarakat perlu akui bahawa musibah, kesusahan dan kesulitan menimpa seseorang itu datang tidak mengira masa dan waktu.
"Jadi penting bagi semua pihak lebih peka dan membantu golongan yang tidak berkemampuan secara berterusan supaya kesulitan yang dihadapi mereka ditangani dengan kadar yang segera, bukannya perlu menunggu musim,” katanya lagi.
Semalam dalam program berlainan, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menyampaikan bantuan yang sama kepada 27 orang pelajar sekolah menengah dari golongan miskin dan kurang berkemampuan di kawasan Parlimen Tanjung Piai, Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!