Segerakan gencatan senjata!
PADA 11 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir telah menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-8 di Riyadh, Arab Saudi.
Sidang berkenaan anjuran Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman.
Penganjuran sidang tergempar ini sangat penting bagi membincangkan isu kekejaman rejim Israel yang berterusan ke atas rakyat Palestin, khususnya langkah yang boleh diambil oleh OIC sebagai sebuah organisasi yang mewakili negara-negara Islam bagi menyelesaikan konflik tersebut.
Dalam sidang kemuncak tergempar tersebut, Malaysia telah mengemukakan dua resolusi segera.
Pertama, menegaskan keperluan agar bantuan kemanusiaan dapat segera disalurkan kepada penduduk Gaza yang terjejas akibat konflik tersebut.
Kedua, menyeru supaya gencatan senjata mesti disegerakan agar kekejaman rejim Zionis Israel ini dapat dihentikan sebelum lebih ramai penduduk Gaza yang tidak berdosa menjadi korban.
Pada masa sama, Malaysia turut menegaskan bahawa semua negara anggota OIC perlu mengambil langkah berani dengan menyatakan bantahan keras terhadap penempatan haram Israel yang dibina di Gaza dan Tebing Barat dengan mengusir rakyat Palestin.
Selain itu, semua negara anggota OIC juga diseru agar rejim Zionis Israel disiasat dan didakwa menerusi institusi keadilan antarabangsa kerana telah mencabuli undang-undang antarabangsa dan melakukan jenayah perang terhadap rakyat Palestin.
Oleh demikian, negara anggota OIC juga perlu bertindak segera bagi memperjuangkan keadilan buat penduduk Gaza, tatkala negara Barat terus membisu berkaitan konflik di Gaza.
Pada akhir sidang tergempar tersebut, satu Dokumen Hasil (Final Communique) telah diputuskan oleh OIC iaitu seruan agar perang di Gaza segera ditamatkan, selain menolak alasan Israel yang menyerang rakyat Palestin sebagai satu usaha mempertahankan diri.
Dokumen Hasil tersebut turut diakhiri dengan kritikan keras terhadap tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan serta jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap penduduk Gaza.
Ternyata Dokumen Hasil yang diputuskan selari dengan hasrat Malaysia yang konsisten dengan seruan agar konflik di Gaza ditamatkan dengan segera, sekali gus membolehkan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada penduduk Gaza.
Oleh itu, dokumen ini dilihat bakal memberi harapan baharu kepada nasib rakyat Palestin dan penyelesaian kepada konflik di Gaza melalui genjatan senjata, sekali gus menamatkan konflik di Gaza yang telah berlarutan lebih sebulan dan mengorbankan lebih 10,000 orang.
Pada masa sama, dokumen ini juga diharap dapat memberi tekanan kepada kuasa besar dunia dan negara Barat agar tidak terus membisu dalam isu ini, sebaliknya mereka perlu terus mendesak Israel agar segera menghentikan serangan genosid terhadap penduduk Gaza yang tidak berdosa, atas nama pertahanan diri.
*Dr Abu Hanifah Haris ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!