APEC 2023: Anwar adakan pertemuan dua hala dengan Presiden Vietnam, Peru

Anwar dan Van Thuong mengadakan pertemuan dua hala di luar acara Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-30 di San Francisco pada Khamis. - Foto: Bernama
Anwar dan Van Thuong mengadakan pertemuan dua hala di luar acara Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-30 di San Francisco pada Khamis. - Foto: Bernama
A
A
A

SAN FRANCISCO - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Vietnam, Vo Van Thuong dan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra.

Ia berlangsung di luar acara Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023, di San Francisco, Amerika Syarikat pada pagi Khamis waktu tempatan.

Dalam pertemuan dengan Van Thuong, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu berkepentingan dua negara termasuk isu peringkat serantau terutama ASEAN.

Antaranya termasuk permintaan Vietnam untuk Malaysia memfasilitasi produk dan pensijilan halal dari Vietnam selain ia berterima kasih kepada Malaysia kerana melatih pegawainya di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Malah, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu serantau terutama melibatkan ASEAN dengan bersetuju untuk meningkatkan kerjasama membanteras penangkapan hasil laut secara haram di perairan Malaysia.

Ia termasuk memperakui secara bersama pematuhan terhadap Deklarasi Tatalaku Laut China Selatan dan memastikan Kod Tatalaku Laut China Selatan berkesan sepenuhnya.

Anwar mengadakan pertemuan dengan Dina Ercilia di luar acara Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023, di San Francisco, Amerika Syarikat pada Khamis. - Foto: Bernama
Anwar mengadakan pertemuan dengan Dina Ercilia di luar acara Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023, di San Francisco, Amerika Syarikat pada Khamis. - Foto: Bernama

Anwar turut menjemput Van Thuong untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia tahun hadapan selepas beliau mengangkat sumpah sebagai presiden pada Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada 2022, Malaysia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar bagi Vietnam sementara Vietnam merupakan rakan dagang ke-12 terbesar bagi Malaysia.

Jumlah perdagangan dua hala pada 2022 merekodkan pertambahan 16 peratus kepada AS$19.44 bilion dari AS$16.70 bilion pada 2021.

Manakala dalam pertemuan dengan Dina Ercilia, Anwar dijemput menyertai APEC 2024 yang akan dihoskan oleh Peru selaku tuan rumah untuk kali ketiga selepas menganjurkannya pada 2008 dan 2016.

Malah, Dina Ercilia turut memohon Malaysia supaya mempertimbangkan cadangan membuka pejabat di Peru untuk memfasilitasi pensijilan halal produk negara itu.

Pada masa sama, Anwar turut berterima kasih kepada pihak berkuasa Peru kerana menyelamat dan membantu 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan eksploitasi buruh baru-baru ini.

Selain itu, Malaysia secara dasar menyokong permintaan Peru untuk menubuhkan Kerjasama Pembangunan bersama ASEAN.

Antara isu lain dibincangkan termasuk pemerkasaan wanita dan perubahan iklim.

Nilai dagangan antara Malaysia dan Peru dari Januari hingga Jun 2023 dicatat sebanyak AS$168.45 juta, meningkat 12.8 peratus berbanding AS$155.97 juta bagi tempoh sama pada 2022.

Justeru, kedua-dua negara komited untuk meluaskan perdagangan dua negara menerusi kerjasama ekonomi di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!