Palestin, Lubnan buntu di UAE
PALESTIN menyingkap kempen Kumpulan I, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan keputusan seri 0-0 ketika berdepan Lubnan di Stadium Khalid bin Mohammed, Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis.
Perlawanan dimainkan tanpa penyokong di UAE - gelanggang berkecuali akibat konflik Israel-Gaza yang sebelum ini dijadualkan berlangsung di Beirut.
Namun tindak balas Israel terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober menyebabkan pegawai menukar perlawanan ke Sharjah.
Kedua-dua pasukan telah bertemu enam kali menyaksikan rekod dikuasai Palestin dengan tiga kemenangan, dua keputusan seri dan satu kemenangan berpihak Lubnan.
Dari segi jaringan, rekod itu turut dikuasai Palestin dengan lapan gol berbanding lima gol Lubnan.
Sebelum perlawanan, seluruh pasukan Palestin memakai keffiyeh tradisional, selendang hitam dan putih berkotak-kotak, ketika lagu kebangsaan dinyanyikan dan berdiam diri seminit bagi mereka yang terkorban dalam konflik sebelum sepak mula.
Palestin memulakan permainan dengan baik walaupun latihan pusat bermula empat hari lalu.
Kapten Lubnan, Hassan Maatouk mempunyai peluang pertama selepas 12 minit, namun rembatan jarak jauhnya tersasar.
Atta Gaber kemudian membalas untuk Palestin dengan tandukan ketika perlawanan 30 minit berlalu.
Karim Darwich terlepas peluang baik untuk Lubnan tiga minit separuh masa kedua namun Palestin, yang menduduki ranking ke-94 Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), menyaingi hasil rembatan Tamer Seyam yang diselamatkan penjaga gol Lubnan, Moustafa Matar.
Pemain Lubnan, Ali Al Haj berjaya melakukan percubaan hampir menerjah jaring Palestin selepas 87 minit sebelum Matar
menyelamatkan sepakan jarak dekat Oday Dabbagh dengan kakinya yang diregangkan pada minit akhir.
Palestin sebelum ini menjadikan Stadium Faisal Al-Husseini Al-Ram di Tebing Barat sebagai venue, namun mereka akan bertemu Australia bagi aksi Kumpulan I di Kuwait pada 21 November.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!