Permaisuri Johor, isteri TMJ tunai solat sunat gerhana
JOHOR BAHRU - Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berangkat menunaikan solat sunat gerhana matahari di Masjid Jamek Dato' Haji Noh Gadut, Serkat dekat Pontian hari ini.
Menerusi hantaran dan beberapa gambar yang dimuat naik dalam laman Facebook The Royal Johor, baginda diiringi isteri Tunku Mahkota Johor, Che' Puan Khaleeda Bustamam.
Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa selamat serta solat hajat. Ia disusuli taklimat mengenai gerhana matahari analus (cincin) yang disampaikan Penasihat Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Datuk Noh Gadut.
Jemaah kemudian menunaikan solat sunat gerhana matahari dan mendengar khutbah yang disampaikan Imam Besar Negeri Johor, Makhadzir Abdan.
Sebelum berangkat pulang, Raja Zarith Sofiah dan Che' Puan Khaleeda berkenan menyaksikan fenomena gerhana matahari itu menggunakan teleskop di pekarangan masjid.
Gerhana matahari anulus berlaku apabila bulan bergerak tepat di hadapan matahari dan disebabkan kedudukan bulan berada jauh sedikit daripada bumi serta saiz yang sedikit kecil, ia tidak dapat menutupi keseluruhan bentuk piring matahari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!