KPKM bincang dengan kementerian lain cadangan gred tunggal beras

Sekurang-kurangnya empat kementerian akan terlibat dalam perbincangan itu untuk selaraskan hal padi pada masa akan datang. - Gambar hiasan
Sekurang-kurangnya empat kementerian akan terlibat dalam perbincangan itu untuk selaraskan hal padi pada masa akan datang. - Gambar hiasan
A
A
A

KEPALA BATAS - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan berbincang dengan beberapa kementerian lain berhubung cadangan mewujudkan hanya satu gred tunggal untuk beras putih dan tidak perlu lagi melabelkannya dengan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI) seperti kelaziman.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan itu dijalankan secara menyeluruh termasuk berhubung isu mahu menyelaraskan hal berkaitan padi pada masa akan datang.

"Kami (KPKM) akan mengadakan perbincangan dengan Gabungan Pengilang Beras Malaysia yang mencadangkan perkara tersebut, selain itu perbincangan turut dibuat bersama beberapa kementerian lain antaranya Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Sekurang-kurangnya empat kementerian akan terlibat dalam perbincangan itu untuk selaraskan hal padi pada masa akan datang, cadangan berkenaan kita boleh terima dan boleh juga kita tolak...jadi perlu diadakan perbincangan lanjut terlebih dulu," katanya kepada pemberita malam tadi.

Beliau yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kepala Batas, di Dewan Datuk Haji Ismail Che' Chik di Penaga dekat sini yang turut dihadiri barisan kepimpinan negeri parti itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan Gabungan Pengilang Beras Malaysia mahu badan Kawalselia Padi dan Beras KPKM mewujudkan hanya satu gred tunggal untuk beras putih dan tidak perlu lagi melabelkannya dengan BPT dan BPI seperti kelaziman.

Pengerusi gabungan itu, Marzukhi Othman dilaporkan berkata langkah itu penting untuk memastikan tiada sebarang manipulasi di peringkat pemborongan sekali gus dapat mengelakkan pengguna tertipu dengan beras yang dibeli.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Mohamad berkata, Amanah sekali lagi mengulangi pendirian iaitu menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelantikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang kosong selepas kematian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Artikel Berkaitan:

"Serah pada PM (Perdana Menteri), PM ada kuasa...saya kata kami (Amanah) mengharapkan jawatan menteri itu (KPDN) tapi hak Perdana Menteri untuk tentukan (siapa yang dipilih sebagai menteri) kerana Kabinetnya," kata Mohamad.

Beliau juga memaklumkan Amanah telah menyerahkan nama calon jawatan menteri itu kepada Anwar.

Jawatan Menteri KPDN ketika ini dipangku sementara oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali serta dibantu Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah pada 23 Julai lepas ketika dirawat di unit rawatan rapi HSB. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!