Peristiwa gerhana iktibar manusia, tingkat takwa

572003-1
572003-1
A
A
A

KUANTAN - Peristiwa gerhana matahari adalah iktibar kepada manusia bahawa kita amat kecil berbanding ciptaan ALLAH SWT di cakerawala seperti bulan, bintang, matahari dan sebagainya.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, masyarakat diminta mengambil iktibar dan meningkatkan ketakwaan serta keimanan dengan memperbanyakkan ibadah sebagai tanda syukur ke hadrat ALLAH SWT.

"ALLAH menunjukkan sedikit kekuasaan-Nya bahawa fenomena gerhana matahari amat mudah bagi-Nya. Melalui peristiwa ini manusia hendaklah lebih meningkatkan keimanan. Dia menunjukkan kekuasaan-Nya di mana apabila Dia berkehendakkan sesuatu maka cukup mudah bagi-Nya untuk melaksanakannya.

"Adalah tugas Jabatan Mufti untuk memperingatkan dan memberikan pemahaman kepada umat Islam berkenaan fenomena gerhana ini. Pada zaman Rasulullah SAW berlakunya falak bukan sebab ada kematian atau peristiwa tertentu seperti dikaitkan dengan peristiwa anakanda baginda (Ibrahim) yang meninggal dunia.

"Fenomena gerhana adalah ciptaan ALLAH SWT yang tiada kena mengena dengan berlakunya kematian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Abdul Rahman yang kini berada di Indonesia untuk menghadiri Program Cerapan Gerhana Matahari Cincin di antara Jabatan Mufti Malaysia dan Kelab Kelab Falak Malaysia bagi tujuan kajian ilmu falak yang membawa kepada pengenalan ilmu astronomi dan angkasawan.

Hadir sama Jabatan Mufti Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang dan agensi lain berkaitan Kelab Falak Malaysia dan cendekiawan Universiti Malaya.

Abdul Rahman berkata, delegasi mufti Malaysia akan berada di sana selama tiga hari bermula semalam dan dijangka kembali ke tanah air esok. Turut diadakan ialah solat sunat gerhana selepas zohor sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Sinar Harian di Masjid Sultan Ahmad 1, Bandar Kuantan juga mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang menunaikan solat sunat gerhana sebanyak dua rakaat sempena fenomena yang difahamkan berlaku dalam tempoh 21 tahun sekali ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!