Indahnya menghulur kemaafan

Kitaran kesakitan dan aura negatif mampu diputuskan dengan huluran kemaafan, pada masa sama kekuatan jiwa amat diperlukan untuk mencapai tingkat spiritual yang tinggi

KEMAAFAN yang tulus adalah sebahagian daripada keindahan Islam. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF
KEMAAFAN yang tulus adalah sebahagian daripada keindahan Islam. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF
A
A
A

“KEMAAFAN adalah hadiah terbesar atau amal jariah dalam Islam. Kemaafan yang tulus adalah sebahagian daripada keindahan Islam. Sebagai Muslim, anda akan melakukan segala-galanya untuk mendapatkan keredaan ALLAH SWT.”

Demikian kata bekas guru, Dr Abdul Munim Sombat Jitmoud dari Amerika Syarikat ketika dihubungi untuk berkongsi pengalaman beliau berhubung nilai kemanusiaan sempena penganjuran World #QuranConvention di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang, 2 Disember ini.

ABDUL MUNIM
ABDUL MUNIM

Beliau menjadi panelis jemputan bersama Pensyarah Kanan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Dr Mohd Erfino Johari dan Qari, Shaykh Rami As-Sousi, Imam dari Palestin memberi pengisian pada slot Serve to be served: Individual & Family.

Menurut Abdul Munim, apabila kita memaafkan kerana ALLAH, ia ibarat melepaskan diri daripada tekanan, kegelisahan dan kemurungan. Kita boleh menjalani kehidupan yang gembira, tidak kira apa jua berlaku, kekal optimis dan bersyukur atas segala yang dimiliki.

“Rasulullah SAW mengajar kita untuk berbelas kasih kepada orang dan memaafkan orang lain. Tindakan memaafkan menjadikan kita lebih menyantuni orang lain. Keupayaan memaafkan adalah tanda kekuatan rohani dan kesabaran yang diberikan ALLAH,” katanya.

Tindakan mulia

Artikel Berkaitan:

Bapa kepada enam anak ini menjadi terkenal di seluruh dunia, susulan klip video di dalam mahkamah yang memaparkan tindakan mulianya memaafkan tertuduh atas kes pembunuhan anaknya di mahkamah di Amerika pada 7 November 2017.

TANGKAP layar video yang tular apabila Abdul Munim memaafkan Relford pada 2017.
TANGKAP layar video yang tular apabila Abdul Munim memaafkan Relford pada 2017.

Trey Alexander Relform yang mengaku bersalah dalam kes pembunuhan Salahuddin Jitmoud, 22, mangsa rompakan sebelum ditikam ketika menghantar piza pada malam 19 April 2015 di Lexington, Kentucky.

“Kehilangan anak lelaki kesayangan, Salahuddin sejak tujuh tahun lalu adalah ujian sebenar daripada ALLAH. Ia menjadi sebahagian proses penyembuhan peribadi saya.

“ALLAH telah memberi saya peluang untuk melakukan perjalanan jauh dengan tujuan membantu orang lain mengenali kekuatan mutlak-NYA; berkongsi keindahan Islam dan membantu sesiapa sahaja dalam proses penyembuhan mereka.”

“Saya mahu memanfaatkan peluang bercakap bersama peserta dari seluruh dunia di World #QuranConvention untuk menyampaikan mesej bahawa ALLAH MAHA SEMPURNA dan MAHA AGUNG. Tiada siapa pun yang lebih utama melainkan ALLAH.

“Kita sebagai hamba yang tidak sempurna dan banyak dosa, memerlukan pengampunan, rahmat dan kasih sayang-NYA untuk diselamatkan daripada neraka.

"Kita memaafkan orang yang menyakiti kita dan berdoa agar ALLAH mengampunkan mereka. Jika kita melepaskan mereka dari hutang mereka kepada kita, maka ALLAH akan melepaskan kita dari hutang kita kepada-NYA,” ungkapnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa memaafkan ketika dia mampu membalas, maka ALLAH memberinya maaf pada hari kesulitan." (Riwayat at-Tabarani)

BARISAN panelis yang memberi pengisian pada World #QuranConvention 2022. Pada 2 Disember ini, Abdul Munim dijemput menjadi panelis program berkenaan tahun ini.
BARISAN panelis yang memberi pengisian pada World #QuranConvention 2022. Pada 2 Disember ini, Abdul Munim dijemput menjadi panelis program berkenaan tahun ini.

Ubah kesukaran kepada peluang

Berdasarkan pengalaman Abdul Munim sebagai pengarah bagi tujuh sekolah Islam di Amerika Syarikat, bukan mudah berhadapan dengan kanak-kanak.

Namun sifat memaafkan dapat mengubah kesukaran kepada peluang untuk menikmati kehadiran mereka sebagai sahabat dan membina suasana positif di sekolah.

Ini adalah cara terbaik untuk mereka jatuh cinta dengan pendidikan Islam dan Islam itu sendiri. Beliau selalu mengingatkan dirinya bahawa setiap kanak-kanak sebagai amanah penting untuk dicintai dan dididik sebaik mungkin.

“Kemaafan adalah nilai terpenting untuk kesejahteraan, sama ada di peringkat individu atau kolektif. Manusia bukan makhluk sempurna, hanya ALLAH yang MAHA SEMPURNA. Kita selalu menyakiti satu sama lain dengan cara tertentu, walaupun tanpa niat jahat.

“Antara cara untuk memutuskan kitaran kesakitan dan aura negatif ini adalah memberi kemaafan, melepaskan tuntutan dendam dan menerima pihak lain dengan kasih sayang. Semua ini perlukan kekuatan jiwa untuk mencapai spiritual yang tinggi.

Abdul Munim berkata, ALLAH meletakkan dua situasi iaitu nikmat dan ujian bagi setiap insan. Islam mengajar kita bersyukur dengan nikmat dan bersabar dengan ujian. Orang yang bersabar mendapat ganjaran besar daripada-NYA.

FOTO kenangan Abdul Munim bersama Allahyarhamah isteri, Jamilah (tiga kiri), dan anak-anaknya termasuk arwah Allahyarham Salahuddin (kanan).
FOTO kenangan Abdul Munim bersama Allahyarhamah isteri, Jamilah (tiga kiri), dan anak-anaknya termasuk arwah Allahyarham Salahuddin (kanan).

Pupuk budaya bermaafan

Menurut beliau lagi, seorang Muslim itu akan menjadi lebih pemurah apabila banyak bersyukur walaupun kepada perkara kecil. Hindari diri daripada mengeluh yang mengundang penyesalan. Ia juga menutup hati daripada melihat semua keindahan yang ada di hadapan mata. Kita boleh memupuk budaya kemaafan dalam komuniti yang berbilang kaum dan agama dengan menghargai satu sama lain, saling membantu dan bersyukur.

“Kerendahan hati dan khidmat kepada orang lain adalah jalan terbaik dan jalan yang dipilih oleh para nabi dan wali. Ini yang perlu dicontohi oleh setiap pemimpin dan ketua keluarga,” katanya.

Di Malaysia, Abdul Munim telah mendapat pengiktirafan dengan anugerah Ikon Rahmatan Lil Alamin yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur di Kompleks Islam Putrajaya, pada 19 Disember 2021.

Orang ramai yang ingin menyertai World #QuranConvention 2023, sila daftar di https://www.worldquranconvention.com/buy/ticket/.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!