Bas Smart Selangor bukan bermatlamat keuntungan - Sze Han

Sze Han
Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai matlamat untuk mendapatkan keuntungan melalui Perkhidmatan Bas Smart Selangor, sebaliknya menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di negeri ini ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, semua lapisan masyarakat boleh menggunakan perkhidmatan itu di samping dapat mengurangkan bebanan kewangan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang menggunakan perkhidmatan awam di dalam urusan harian.

"Meskipun perkhidmatan Bas Smart Selangor ini mendapat sambutan menggalakkan, jumlah penumpang bukanlah kayu ukur untuk menentukan keberhasilan kejayaan program ini," katanya menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN-PN) Hulu Bernam, Mu'izzuddeen Mahyuddin semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat.

Sze Han memberitahu, sejak dilancarkan pada 1 Julai 2015, jumlah penumpang yang menggunakan Bas Smart Selangor telah mencapai penggunaan sehingga 65,105,588 penumpang sehingga September lalu.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri mahu sistem pengangkutan awam di negeri ini terus diperkasakan supaya menjadi sistem pengangkutan pilihan pertama dalam kalangan rakyat.

Ujar beliau, Inisiatif Mobiliti Selangor yang diperkenalkan kerajaan negeri juga merupakan satu pendekatan pragmatik untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di negeri ini.

"Sebelum tahun 2023, perkhidmatan pengangkutan awam di Selangor tertumpu kepada Bas Smart Selangor sahaja, namun melangkah ke hadapan, tiba masanya kerajaan negeri mencari solusi lebih proaktif bagi mencapai sasaran penggunaan pengangkutan awam lebih tinggi.

"Penjenamaan baharu sistem pengangkutan awam Selangor kini akan dikenali sebagai Mobiliti Selangor iaitu satu sistem pengangkutan awam yang menggabungkan semua aspek pengangkutan di bawah satu bumbung dan dipandu dengan penganalisaan data," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Mengulas soalan tambahan daripada Mu'izzuddeen yang mahu perkhidmatan itu diperluaskan di Hulu Bernam, Sze Han menjelaskan perkara itu perlu dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

"Kerajaan Selangor mengalu-alukan cadangan Hulu Bernam dan sebenarnya MPHS telah menawarkan Bas Smart Selangor tetapi mungkin tidak sampai lagi di kawasan yang dimaksudkan," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!