[VIDEO] 26 PATI cuba keluar dari Malaysia dipenjara tiga bulan
PORT DICKSON - Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat menjatuhi hukuman tiga bulan penjara terhadap 26 pendatang tanpa izin (PATI) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba keluar dari negara ini secara haram.
Kesemua tertuduh yang merupakan 25 warga Indonesia dan seorang Rohingya iaitu tiga wanita dan 23 lelaki berusia 21 hingga 63 tahun membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret, Uthman Abd Ghani sebaik pertuduhan dibacakan secara bersama.
Berdasarkan pertuduhan, mereka sebagai warganegara asing telah didapati cuba keluar Malaysia melalui jalan yang bukan merupakan satu tempat keluar yang diwartakan seperti mana kehendak Seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 4 November lepas jam lebih kurang 12.40 pagi bertempat di atas sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran di kedudukan garis lintang 02 22.80 utara dan garis bujur 102° 42.97 timur dalam perairan Malaysia pada jarak 9.6 batu nautika dengan daratan terhampir Port Dickson.
Sehubungan itu, kesemuanya telah melalukan satu kesalahan di bawah Seksyen 56(1A)(a) dibaca bersama Seksyen 5(2) Akta yang sama dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama.
Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim (APM), Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin manakala tertuduh diwakili Eric Yeow Kok Heng secara pro bono.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!