Hilang 100 ahli keluarga ketika tsunami Aceh 2004
BANDA ACEH - "Saya berlari sekuat hati dan mencari perlindungan di masjid. Saya tidak cedera, tapi ramai yang mati," kata Ridwan Johan, antara mangsa yang terselamat dalam peristiwa tsunami Aceh pada 2004.
Mengimbau kembali bencana dahsyat itu, Ridwan berkata, dia kehilangan 100 ahli keluarga dalam sekelip mata dan kampung halamannya di Meulaboh paling teruk dilanda tsunami.
"Rumah ibu saya musnah teruk, namun ibu terselamat dengan berpaut pada sebatang kayu.
"Hampir 100 ahli keluarga, sepupu dan keluarga terdekat terkorban semasa peristiwa tersebut," katanya.
Menurutnya, angka kematian tinggi dicatat di Aceh turut berpunca daripada struktur bangunan yang lemah dan tidak mempunyai daya tahan untuk menghadapi bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami.
"Berdasarkan pengalaman saya, struktur bangunan juga memainkan peranan. Selebihnya 'kerja' Tuhan," katanya yang kini menjawat jawatan Ketua Teknikal di Masjid Baiturrahman.
Masjid berkenaan menjadi ikonik kerana hanya mengalami keretakan kecil pada dinding ketika tsunami melanda. - Agensi
INFO
*Bencana tsunami Aceh berlaku pada 26 Disember 2004
*Tercetus susulan gempa bumi kuat 9.1 magnitud
*Angka rasmi korban tsunami Aceh ialah 170,000 orang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!