Ekonomi Malaysia berkembang 3.3 peratus pada suku ketiga - BNM
[DIKEMAS KINI] EKONOMI Malaysia berkembang sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 daripada 2.9 peratus pada suku kedua tahun ini, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh pertumbuhan selanjutnya dari segi guna tenaga dan upah, manakala aktiviti pelaburan disokong oleh kemajuan projek berbilang tahun dan pengembangan kapasiti oleh syarikat.
"Eksport kekal lembap berikutan kelemahan permintaan luaran yang berpanjangan. Bagaimanapun, keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh kemasukan pelancong asing yang kembali pulih.
"Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan, pembinaan dan pertanian terus menyokong pertumbuhan,” katanya pada pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga pada Jumaat.
Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata, ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan pengeluaran dalam sektor perkilangan disebabkan permintaan yang lemah terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta pengeluaran produk petroleum bertapis yang lebih rendah.
"Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 2.6 peratus (suku kedua 2023: 1.5 peratus), manakala secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.9 peratus pada tiga suku pertama 2023," katanya.
Inflasi
Sementara itu, Abdul Rasheed berkata, inflasi keseluruhan terus menurun kepada 2.0 peratus (suku kedua 2023: 2.8 peratus) pada suku ketiga.
"Penurunan dicatatkan oleh inflasi bukan teras dan inflasi teras. Bagi inflasi bukan teras, makanan segar dan bahan api menyumbang kepada penurunan berkenaan," katanya.
Beliau berkata, inflasi teras terus menurun kepada 2.5 peratus (suku kedua 2023: 3.4 peratus) tetapi kekal melebihi purata jangka panjang (purata 2011-2019: 2.0 peratus).
"Inflasi teras yang menurun ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan terpilih termasuk makanan di luar rumah, perbelanjaan di restoran dan kafe serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian," katanya.
Menurut Abdul Rasheed rebakan inflasi berkurangan apabila bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan menurun kepada 40.8 peratus pada suku ketiga (suku kedua 2023: 42.7 peratus), iaitu di bawah purata jangka panjang suku ketiga (2011-2019) sebanyak 44.5 peratus.
Unjuran
Beliau berkata, pada masa hadapan, pertumbuhan akan kekal berdaya tahan berikutan permintaan dalam negeri yang kukuh meskipun wujud rintangan luaran.
"Meskipun dalam persekitaran global yang mencabar, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sekitar 4.0 peratus pada 2023 dan 4.0- 5.0 pada 2024, didorong oleh permintaan dalam negeri yang berkembang berikutan prospek pekerjaan dan pendapatan yang stabil, terutamanya dalam sektor berorientasikan dalam negeri.
"Prestasi pertumbuhan ini bersama-sama dengan perkembangan ekonomi menggalakkan yang lain akan memberikan sokongan kepada ringgit," katanya.
Selain itu, beliau berkata, ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus bertambah baik, manakala pelaburan akan disokong oleh kemajuan selanjutnya dalam projek infrastruktur berbilang tahun dan pelaksanaan inisiatif pemangkin.
"Langkah-langkah di bawah Belanjawan 2024 juga akan memberikan dorongan tambahan kepada kegiatan ekonomi.
"Prospek pertumbuhan terus cenderung ke arah risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan yang berpunca terutamanya daripada permintaan luar yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar dan berpanjangan," katanya.
Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata, wujud faktor yang mungkin menyebabkan pertumbuhan menjadi lebih tinggi iaitu aktiviti pelancongan yang lebih giat daripada jangkaan, permintaan dalam sektor E&E yang pulih dengan lebih kukuh serta pelaksanaan projek pelaburan sedia ada dan baharu yang lebih pantas.
Beliau berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras menurun sepanjang tahun ini, disebabkan terutamanya oleh keadaan kos yang lebih rendah dan dijangka berterusan untuk tempoh seterusnya pada 2023.
"Secara menyeluruh, inflasi keseluruhan dijangka berpurata antara 2.5 peratus hingga 3.0 peratus pada 2023. Pada masa hadapan, risiko terhadap prospek inflasi kekal sangat bergantung pada perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!