Indonesia sambut baik program ‘Bridge to Brilliance’ USANITA
SHAH ALAM - Menteri Koperasi dan Usaha Kecil dan Menengah Republik Indonesia, Teten Masduki menyambut baik program ‘Bridge to Brilliance’ anjuran USANITA Sdn Bhd dalam satu kunjungan hormat di Jakarta pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adzliana Hasan berkata, pertemuan hampir sejam itu tertumpu kepada perbincangan untuk mengadakan kolaborasi bersama antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang keusahawanan.
Menurut beliau, menteri berkenaan melihat pelaksanaan program tersebut sebagai satu bentuk kerjasama yang baik memandangkan Indonesia juga giat membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
"Teten telah mendengar dan menyambut baik konsep program ‘Bridge to Brilliance’ yang dibentangkan oleh kami (USANITA).
"Beliau melihat ia satu bentuk kerjasama yang baik, program ini merupakan satu usaha untuk menghubungkan Usahawan-usahawan Kecil dan Menengah (UKM) di Indonesia.
“Kalau di Malaysia dipanggil Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Adzliana menerangkan, usahawan daripada kedua-dua negara itu akan turut sama berkongsi idea digital, pengurusan masyarakat tanpa tunai (cashless) dan peluasan pasaran menerusi program berkenaan.
Tambah beliau, hal ini kerana Indonesia memiliki kelebihan dari segi kekayaan sumber asli dan populasi masyarakat yang besar.
"Saya dan Teten berkongsi hasrat yang sama. Kami ingin melihat Malaysia serta Indonesia berganding bahu dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat antara dua negara di rantau Asia ini.
"Pertemuan ini telah mencapai matlamat USANITA untuk menjalinkan kerjasama dengan Indonesia dalam membangunkan usahawan," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya dijemput untuk hadir ke Program Rasmi Usahawan Indonesia pada 28 November akan datang yang bakal melibatkan lebih daripada 120 pemain industri pemula.
Hal ini kerana menurutnya, berdasarkan Global Entrepreneurship Monitor, jumlah usahawan wanita di Indonesia mencapai 14 peratus daripada populasi negara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!