Taikun tekstil didakwa subahat cederakan bekas hakim

Pavitar Singh dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas satu pertuduhan bersubahat dengan dua lelaki supaya mencederakan abang iparnya yang juga seorang bekas hakim sehingga parah, bulan lalu.
Pavitar Singh dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas satu pertuduhan bersubahat dengan dua lelaki supaya mencederakan abang iparnya yang juga seorang bekas hakim sehingga parah, bulan lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang taikun syarikat tekstil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan bersubahat dengan dua lelaki supaya mencederakan abang iparnya yang juga seorang bekas hakim sehingga parah, bulan lalu.

Pavitar Singh Manjeet Singh, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersubahat dengan dua lelaki yang telah dituduh, sengaja menyebabkan kecederaan parah Datuk Jagjit Singh Bant Singh, 67, (kini bekerja sebagai seorang peguam) dengan menggunakan pemutar skru.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah suites Solaris Dutamas (Publika) Jalan Dutamas di sini pada jam 12.50 tengah hari, 19 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub mencadangkan usahawan berkenaan diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Jeremy Vinesh Anthony yang mewakili Pavitar Singh merayu agar anak guamnya dilepaskan dengan jaminan yang rendah kerana perlu menanggung isteri dan seorang anak.

“Anak guam merupakan Pengerusi Gurdwara Sahib Titiwangsa dan mempunyai hubungan rapat dengan komuniti, selain tiada risiko untuk melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

“Dia memberi kerjasama yang baik sepanjang empat hari ditahan dan ini kali pertama dia didakwa ke mahkamah,” katanya.

Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang hartawan ditahan selepas berlaku pertelingkahan keluarga membabitkan harta pusaka.

Ia susulan dua penyerang didakwa mencederakan bekas hakim menggunakan pemutar skru hingga menyebabkan seorang lagi mangsa, patah bahu.

Mangsa berusia 31 tahun yang juga rakan kongsi bekas hakim itu mengalami kesan tikaman di kepala, pipi, tapak tangan dan belakang tangan kiri.

Penyerang, Muhammad Asyraf Sharin dan Muhammad Shahrulnizam Mohd Maimun sudah didakwa melakukan jenayah itu pada 25 Oktober lalu di mana mereka mengaku bersalah di hadapan Hakim, Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi.

Mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan sebatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!