[VIDE0] Lelaki mengaku tidak bersalah rogol, amang seksual

A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Mac lalu.

Tertuduh, Mohamad Kasim Abdul Wahab, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Tertuduh (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Gerik, Mac lalu.
Tertuduh (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Gerik, Mac lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa di tepi Sungai Kenering, Kampung Belum Baru Lawin, Gerik sekitar jam 1 tengah hari pada 27 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang masih bujang turut didakwa bagi dua pertuduhan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Kasim (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Gerik, Mac lalu.
Mohamad Kasim (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Gerik, Mac lalu.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan tidak menawarkan jaminan atas alasan kacau ganggu berikutan lelaki itu tinggal berjiran dengan mangsa.

Katanya, pihaknya memohon wang jaminan tinggi dengan dua penjamin beserta syarat tambahan, lelaki itu tidak dibenarkan mengganggu mangsa sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin,

Tertuduh yang diwakili peguam, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin bagaimanapun memohon tertuduh diikat jamin kerana mangsa berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Negeri Sembilan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan seorang daripadanya mesti dalam kalangan ahli keluarga terdekat.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan yang mana tertuduh dan ahli keluarganya dilarang mendekati dan mengganggu mangsa.

Kes disebut semula pada 18 Disember 2023.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!