Bertindaklah lebih awal
SERAMAI 262 anggota polis dikesan positif dadah. Kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dalam Sinar Harian semalam, mungkin mengejutkan sesetengah pihak manakala segelintirnya pula sudah maklum adanya pegar yang makan padi dalam agensi penguatkuasaan negara.
Bukannya ingin meragui integriti agensi berkenaan tetapi khabar anginnya agak kuat kedengaran.
Apapun tahniah kepada JSJN kerana berjaya membongkar salah laku ini, diharap agensi lain turut melakukan perkara yang sama.
Kita tidak perlukan 'mat gian' untuk menjaga keselamatan negara apatah lagi dalam kalangan anggota penguatkuasa.
Walaupun untuk menyertai PDRM telah diadakan ujian psikometrik dan integriti tetapi mungkin perlu dimantapkan lagi dengan pengisian rohani.
Masalah dadah di negara kita bukannya terpencil malah telah menular hingga ke peringkat sekolah.
Bulan lalu, seorang pelajar Tingkatan Tiga di Tumpat, Kelantan ditahan polis bersama 7,800 pil kuda bernilai RM117,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah.
Turut terlibat dalam sindiket itu ialah abangnya yang berusia 24 tahun.
Bagaimana dua beradik ini boleh bekerjasama melakukan jenayah, si abang yang sepatutnya memberi contoh yang baik kepada di adik tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Kisah pelajar ini hanya segelintir daripada liku hidup masyarakat yang perlu kita jadikan iktibar.
Jika mereka yang diberi tanggungjawab tidak dapat melaksanakan amanah yang diberikan, bagaimana lagi caranya kita ingin menjadi bangsa yang bertamadun.
Jika mereka yang lebih dewasa tidak menunjuk contoh yang betul, bagaimana lagi caranya untuk kita melahirkan generasi yang bersahsiah tinggi.
Justeru, setiap anggota masyarakat perlu berganding bahu, punya kesedaran tinggi dan berjuang berterusan untuk membaiki adab dan nilai bangsa yang semakin dirobek.
Jika ada salah laku di depan mata, beranikan menegur walaupun pahit untuk diterima.
Ibu bapa, isteri dan ahli keluarga pula, jika ada dalam kalangan saudara rapat menyalahgunakan dadah, jangan malu untuk membuat laporan polis kerana seorang penagih boleh
melakukan jenayah lain hingga sanggup membunuh ahli keluarga sendiri sekiranya mereka tidak mendapat bekalan.
Natijahnya, perbuatan jenayah itu lebih memalukan keluarga berbanding menghantar si penagih ke pusat pemulihan. Bertindaklah lebih awal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!