Operator kren maut: Polis masih tunggu laporan bedah siasat
KUALA LUMPUR - Punca sebenar kematian melibatkan seorang pengendali kren yang dipercayai meninggal dunia ketika bertugas di tapak pembinaan berdekatan Persiaran KLCC dekat sini pada Khamis masih belum diketahui.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat serta kimia mangsa.
"Bedah siasat ke atas mangsa dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, laporan bedah siasat serta laporan kimia belun diterima setakat ini.
"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, mangsa yang berumur 27 tahun itu dipercayai pengsan ketika mengendalikan kren berketinggian 20 meter di lokasi kejadian.
Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba Muhammad Fikri Mohd Zaini berkata, pihaknya menerusi Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 5.43 petang.
"Seramai 10 anggota bomba bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Anggota bomba yang tiba pada jam 5.50 petang kemudiannya mendapati mangsa merupakan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kabin kren sebelum kerja-kerja menurunkan mangsa dijalankan," katanya.
Mangsa yang kemudiannya disahkan meninggal dunia dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!