Kes denggi tinggi, Ops Industri dilancar di Selangor

Pemeriksaan oleh pegawai JKNS menerusi Ops Industri baru-baru ini.
Pemeriksaan oleh pegawai JKNS menerusi Ops Industri baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kes denggi Selangor bagi Epid 45/2023 menunjukkan peningkatan sebanyak 63.2 peratus iaitu 50,703 kes berbanding 31,078 kes tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Indera Dr Sha'ari Ngadiman berkata, jumlah kumulatif kematian denggi pula mencatatkan 14 kematian, meningkat sebanyak 75 peratus berbanding lapan kematian untuk tempoh sama.

Menurutnya, bagi mengawal penularan wabak, JKNS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat serta semua Pejabat Kesihatan Daerah di Selangor telah melancarkan Operasi Bersepadu Gempur Aedes Ops Industri untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.

"Ops Industri ini melibatkan seramai 130 orang anggota penguat kuasa terdiri Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pembantu Kesihatan Awam dan Pembantu Awam serta menyasarkan 81 premis industri yang berada di sekitar Telok Panglima Garang.

Pemeriksaan oleh pegawai JKNS menerusi Ops Industri baru-baru ini.
Pemeriksaan oleh pegawai JKNS menerusi Ops Industri baru-baru ini.

"Hasil daripada operasi bersepadu tersebut, sejumlah 77 premis industri telah diperiksa dengan peratusan pemeriksaan premis adalah sebanyak 95.1 peratus," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, pemeriksaan mendapati 59.7 peratus premis didapati positif pembiakan nyamuk aedes.

Ujarnya, sebanyak empat notis di bawah Seksyen 8 Akta 154 telah dikeluarkan bersama arahan kerja pembersihan.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua premis yang dijumpai pembiakan aedes akan dibuka kertas siasatan dan seterusnya dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan izin pendakwaan di atas kesalahan membiarkan premis menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Tindakan mahkamah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pihak pengurusan industri agar lebih prihatin mengenai kesejahteraan masyarakat di persekitaran," katanya.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, pemilik premis boleh didenda maksimum berjumlah RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.