Surah al-Insan refleksi kehidupan manusia ke arah lebih baik
SHAH ALAM - World #QuranConvention 5.0 mengetengahkan surah al-Insan sebagai refleksi kepada orang ramai untuk muhasabah diri dan mengubah asas kehidupan ke arah lebih baik sejajar dengan al-Quran.
Pensyarah Kanan, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Dr Mohd Erfino Johari berkata, surah berkenaan seperti konsep pantulan jika difahami dengan lebih mendalam setiap ayat dan seolah-olah sedang melihat diri sendiri di cermin.
“Keadaan itu umpama melihat sesuatu yang ada dan tujuannya mengubah bukan kepada keadaan yang kita mahu tetapi selari dengan ketetapan ALLAH SWT berkaitan hal dunia dan akhirat.
“Surah ini juga mengajar umat manusia mengenai erti ketamadunan dan kemanusiaan yang sebenar antaranya peradaban, susun atur dan keutamaan dalam kehidupan iaitu al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Road To QuranHour Convention Surah Al-Insan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook QuranHour pada Rabu.
Program berkenaan dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Bayyinah Institute berpangkalan di Dallas, Texas bertemakan 'Serve to Be Served: A Divine Guidance From Surah al-Insan' akan berlangsung di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang pada 2 Disember ini.
Tambah Mohd Erfino, ALLAH SWT akan sentiasa terus memberi ujian kepada manusia tetapi bukan hanya dalam bentuk musibah malah dari segi kesenangan yang dimiliki.
Menurutnya, surah tersebut memberikan beberapa kriteria dan panduan untuk membentuk jati diri yang diperlukan oleh seseorang ketika menghadapi ujian sehingga berjaya menyelesaikannya.
“Ia mengajar dan membekalkan kepada sesorang apa yang perlu dilakukan supaya terus beriman kepada ALLAH SWT dan membantu mereka untuk mencari cara untuk masuk ke syurga ALLAH SWT.
“Selain itu, surah ini juga mengandungi panduan ringkas khususnya untuk manusia menjadi individu yang mempunyai moral baik atau mengajar mereka memelihara hubungan baik sesama manusia,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!