[VIDEO] Lebih 500 pembeli kecewa rumah lewat siap

A
A
A

GURUN - Lebih 500 pembeli rumah Taman Residensi Mesra Fasa 1 di sini kecewa apabila kediaman yang dibeli sejak tahun 2019 masih gagal disiapkan pemaju.

Baddrol (dua dari kanan) bersama pembeli rumah Taman Residensi Mesra Gurun Fasa 1 melihat keadaan rumah mereka pada Jumaat.
Baddrol (dua dari kanan) bersama pembeli rumah Taman Residensi Mesra Gurun Fasa 1 melihat keadaan rumah mereka pada Jumaat.

Malah keadaan itu turut memberi kesan emosi dan kewangan sehingga menjadi tekanan kerana terpaksa berjimat-cermat berikutan bayaran ansuran rumah telah dimulakan sejak setahun lalu.

Selain itu pembeli juga perlu menyewa rumah lain memandangkan projek dijanjikan siap pada Mac 2023, namun masih belum boleh diduduki.

Keadaan rumah di Taman Residensi Mesra Gurun Fasa 1 yang sepatutnya siap secara berperingkat pada Mac 2023.
Keadaan rumah di Taman Residensi Mesra Gurun Fasa 1 yang sepatutnya siap secara berperingkat pada Mac 2023.

Salah seorang pembeli, Mohd Khairi Ghazali, 39, berkata, keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati kerana tarikh jangkaan siap telah dilanjutkan pada September lalu.

"Memang kecewa...tak puas hati sebab keadaan masih sama macam sebelum ni saya mai tengok rumah, tak siap-siap," katanya yang berkhidmat sebagai penjawat awam di Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pembeli, Mohamad Syazlan Fitri Zaidin, 28, yang bekerja di kedai haiwan peliharaan berkata, dengan keadaan ekonomi yang kurang baik ketika ini, dia berasa sangat terbeban selepas terpaksa membayar ansuran pinjaman hampir RM1,000 sebulan sejak setahun lalu.

"Kos sara hidup sekarang sangat tinggi, saya beli rumah ketika baru berkahwin dan sekarang sudah ada anak, rumah masih belum siap terpaksa tinggal di rumah keluarga," katanya.

Selain itu, seorang lagi penjawat awam dari Negeri Sembilan, Mohd Haniffah Hasan, 40, berharap agar rumah yang dibeli dapat disiapkan secepat mungkin kerana mempunyai banyak komitmen setiap bulan.

MOHD HANIFFAH
MOHD HANIFFAH

"Saya terpaksa balik Kedah kelmarin sebab hari ini nak selesaikan masalah rumah, esok kena balik semula, penatlah macam ni selagi rumah tak siap.

"Beli rumah ini pada 2019 dan bayaran pinjaman dibuat tahun lalu...sepatutnya projek rumah siap seperti dijanjikan, sudah banyak kali janji tapi hanya tinggal janji," katanya.

Perbincangan diadakan antara pembeli dan pemaju yang turut dihadiri Baddrol pada Jumaat.
Perbincangan diadakan antara pembeli dan pemaju yang turut dihadiri Baddrol pada Jumaat.

Masalah yang dihadapi turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar yang turut serta menyertai perbincangan bersama pemaju projek perumahan berkenaan.

Menurut Baddrol, hasil perbincangan terkini mendapati pemaju berjanji menyiapkan rumah berkenaan pada Mei 2024.

"Kita doakan pembeli dapat kunci pada tarikh sepatutnya. Kita minta agar ia selesai secepat mungkin, sekiranya masih gagal, penduduk bersedia membawa perkara ini ke tindakan pihak atasan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Isaga Utara Sdn Bhd, Datuk Kang Hsuen Chiang berkata, projek itu sudah di peringkat akhir dengan peratus pembinaan mencecah 90 peratus.

HSUEN CHIANG
HSUEN CHIANG

"Projek ini tangguh setahun lebih akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan ketika itu menyebabkan kerja-kerja pembinaan tertangguh.

"Sebagai pemaju, kita mempunyai objektif yang sama dengan pembeli untuk menyiapkan rumah mampu milik ini dengan kadar segera kerana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan tangguh pembayaran sebanyak 25 peratus sehingga dapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC)," katanya.

Mengikut rekod, Taman Residensi Mesra Gurun Fasa 1 mempunyai 405 unit rumah teres setingkat dan 144 unit teres dua tingkat dengan nilai jualan antara RM150,000 hingga RM249,000.

"Buat masa ini pemaju sentiasa berusaha nak siapkan projek perumahan ini segera kerana memikirkan keadaan pembeli, sehingga nak tidur pun tak senang fikirkan bagaimana nak cepat siap," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!