Keperluan benih padi sah dijamin mencukupi

Mohamad (kiri) membuat lawatan ke kilang-kilang bagi memastikan stok BPS sentiasa ada dan mencukupi pada Selasa. - Foto: Facebook MADA
Mohamad (kiri) membuat lawatan ke kilang-kilang bagi memastikan stok BPS sentiasa ada dan mencukupi pada Selasa. - Foto: Facebook MADA
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberi jaminan keperluan benih padi sah (BPS) bagi musim 2/2023 di Kawasan Muda mencukupi.

Cawangan Komunikasi Korporat MADA berkata, keperluan BPS adalah sebanyak 964,507 metrik tan dan berdasarkan status terkini stok benih itu cukup.

Menurutnya, pengedaran benih terbabit akan dibuat melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan peruncit sah dilantik.

"Melalui PPK MADA, pesanan diterima adalah sebanyak 130,846 beg BPS. Sehingga 16 November 2023, sebanyak 84,266 beg BPS telah diterima dan sebanyak 78,033 beg BPS telah diedarkan.

"Melalui keputusan Mesyuarat Penyelarasan Benih Padi Sah, komitmen syarikat pengeluar bagi stok sedia terjual dan sedang diedarkan adalah sebanyak 9,039 beg BPS bagi varieti MR297 dan MR315 melalui kilang pertama padi, Kilang Seri Merbok dan Kilang OBL Maju.

"Sebanyak 8,000 beg BPS lagi turut diluluskan melalui pihak MADACorp," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, bermula minggu hadapan, komitmen pihak pengeluar bagi stok menunggu kelulusan makmal Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) akan dijual dalam tempoh satu minggu kepada PPK MADA melibatkan jumlah 22,339 beg BPS bagi varieti MR297 dan MR315.

Katanya, peladang MADA juga akan mendapat bekalan BPS dari pengeluar-pengeluar benih padi sah serta agen-agen swasta berdaftar.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu turut memberitahu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu;Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali; Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh dan Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli bersama pegawai tertinggi MADA membuat lawatan ke kilang-kilang pada Selasa bagi memastikan stok BPS sentiasa ada dan mencukupi.

"Kempen pengembangan penggunaan BPS oleh pegawai-pegawai MADA di lapangan turut diadakan secara berterusan mengenai penggunaan BPS termasuk pengesyoran penggunaan varieti-varieti tempatan, selain dari MR297 berhasil tinggi,"katanya.

Dalam perkembangan sama, MADA menggesa agar pengeluar-pengeluar padi menjalankan tanggungjawab mereka dengan memastikan peladang-peladang mendapat bekalan benih padi sah pada harga munasabah dalam tempoh waktu sewajarnya.

"Ia bagi memastikan peladang dapat melaksanakan aktiviti tanaman padi Musim 2/2023 mengikut jadual," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!