Sajian segar dan sihat di Café Mesra

A
A
A

Ian bersama-sama kru Café Mesra yang menyediakan perkhidmatan makanan dan minuman berkualiti serta unit kepada para pelanggan.
Ian bersama-sama kru Café Mesra yang menyediakan perkhidmatan makanan dan minuman berkualiti serta unit kepada para pelanggan.

KUALA LUMPUR - Trend masyarakat yang mahukan lebih daripada sekadar perkhidmatan bahan api telah mendorong Petronas Dagangan Bhd (PDB) melaksanakan inovasi mengembangkan lagi perniagaan terasnya bagi memenuhi keperluan pelanggannya.

Membawa jenama yang dekat di hati pelanggan, PDB melebarkan sayap dengan menembusi segmen makanan dan minuman (F&B) menerusi jenama Café Mesra yang merupakan kesinambungan daripada Kedai Mesra di stesen minyak Petronas.

Ketua Pegawai Eksekutif Mesra Retail and Cafe Sdn Bhd, Ian Malcolm Cruddas berkata, Café Mesra yang berkonsepkan on the go itu menawarkan sajian makanan dan minuman berkualiti dengan memfokuskan kepada hidangan yang segar dan sihat.

Ian berkata, terdapat hampir 200 jenis pilihan makanan dan minuman disediakan kepada pelanggan dengan rangkaian produk signature meliputi kopi berkualiti, pastri segar yang dibuat setiap hari serta makanan pra bungkus.

“Membawakan konsep sederhana dan ringkas, Café Mesra menyajikan pelbagai hidangan yang menepati citarasa orang ramai di bawah jenama SayHeart (Sihat) dan Fusion.

“Kesemuanya ditawarkan pada harga yang berpatutan dan mengikut kemampuan pelanggan,” katanya pada sesi pengenalan Café Mesra baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Menu sihat

Ian bersama logo Café Mesra yang akan menawarkan lebih banyak produk jenama sendiri serta varieti makanan kepada pelanggan.
Ian bersama logo Café Mesra yang akan menawarkan lebih banyak produk jenama sendiri serta varieti makanan kepada pelanggan.



Dalam pada itu beliau berkata, jenama SayHeart by Café Mesra menawarkan menu yang mementingkan kualiti kesihatan seperti kombucha, pilihan makanan glukosa rendah, mahupun makanan berasaskan tumbuhan (plant-based) bagi memenuhi kehendak pelanggan.

Bagi menu Fusion, hidangan berkenaan memberi fokus kepada penawaran masakan panas yang menggabungkan pelbagai bahan dan rasa seperti “Lasagna” Ayam, “Bolognese Pasta” dan “Mac and Cheese” yang memberi pengalaman unik kepada para pelanggan.

Sasaran

Pada masa sama, Ian turut yakin dengan sasaran pihaknya untuk membuka 100 buah Café Mesra di seluruh negara mengikut kepada konsep serta saiz kafe, sehingga hujung tahun ini

Jelas beliau, peruntukan bagi setiap kafe bergantung kepada sama ada ia berkonsep pandu lalu, kiosk atau kedai yang telah disesuaikan dengan saiz, dari ruang sekecil 300 kaki persegi atau seluas 1,500 kaki persegi.

Setiap produk makanan dan minuman di Café Mesra menerapkan konsep pembungkusan mesra alam yang mampan.
Setiap produk makanan dan minuman di Café Mesra menerapkan konsep pembungkusan mesra alam yang mampan.

"Kami menjangkakan kafe akan menjadi sebahagian besar daripada perniagaan kami dan akan menjana sejumlah besar pendapatan perniagaan.

“Malah, menjelang tahun 2024, kami harap dapat mengembangkan lagi perniagaan dengan jumlah keseluruhan mencecah 150 cawangan di seluruh negara,” katanya.

Setakat 10 November 2023, sebanyak 63 Café Mesra telah dibuka sejak mula diperkenalkan pada Julai 2022 melibatkan 28 buah kafe di Selangor, Kuala Lumpur (20), Negeri Sembilan (4), Perak (4), Johor (3), Terengganu (3) dan sebuah kafe di Melaka.

Francais

Seiring perkembangan jenama Café Mesra di seluruh negara, PDB bercadang untuk meluaskan kawasan operasinya meliputi Sabah dan Sarawak di pada masa depan.

Buat masa ini kata Ian, semua kafe adalah milik dan dikendalikan Mesra Retail and Cafe Sdn Bhd dengan pasukan yang dilatih di bawah syarikat itu.

Suasana Café Mesra yang sederhana dan ringkas, namun memberi pengalaman unik kepada para pelanggan.
Suasana Café Mesra yang sederhana dan ringkas, namun memberi pengalaman unik kepada para pelanggan.

“Namun di masa hadapan kami akan pertimbangkan untuk membuka francais perniagaan ini kepada wakil perniagaan selain terbuka kepada usahawan-usahawan yang berminat.

“Dengan cara ini jenama Café Mesra boleh diperluaskan ke seluruh negara terlebih dahulu sebelum menjadi jenama di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangan lain untuk mengukuhkan jenama tempatan, Ian memaklumkan bahawa pihaknya bercadang memperkenalkan produk jenama sendiri di samping memperbanyakkan jenis makanan sedia ada.

“Produk jenama ‘Mesra’ memang sudah ada di Kedai Mesra, contohnya air minuman, makanan ringan dan sebagainya. Untuk masa hadapan, kami rancang untuk adakan cenderahati seperti botol minuman, baju dan sebagainya untuk Café Mesra,” ujar beliau.

Malah, Ian turut menyatakan pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan francais-francais lain bagi mengukuhkan lagi penjenamaan dan perkhidmatan yang ditawarkan Café Mesra kepada pelanggannya.